fbpx

Saiful hadiah mata buat Pink Racing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAIFUL (kanan) berjaya menamatkan saingan CP125 di tempat ketujuh sekali gus menghadiahkan mata pertama selepas baharu sahaja menyertai pasukan Pink Racing.

PELUMBA baharu Tuneboss-Pink Racing, Saiful Azhar Muhammad menghadiahkan mata pertama buat pasukan itu selepas mengakhiri perlumbaan di tempat ketujuh CP125 pada pusingan keempat Kejuaraan Cub Prix di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Utara semalam.

Keputusan itu meng­ubati kekecewaan pasukan selepas dua pelumba terbaik mereka, Muhamad Harith Farhan Baharin dan Siti Norafizah Muhammad terjatuh di pertengahan perlumbaan.

Pada saingan tersebut, Harith dan Siti dilihat berpeluang untuk meraih podium di perlumbaan itu, namun keadaan litar licin menjadi punca kedua-dua mereka gagal menamatkan saingan.

“Saya memang tidak sedar apabila Harith dan Siti terjatuh kerana mereka di luar selekoh ketika itu. Saya hanya fokus pada perlumbaan untuk memburu podium pada saingan itu.

“Saingan sedikit sukar kerana keadaan litar masih basah meskipun hujan sudah berhenti sebelum perlumbaan bermula. Apa pun saya sangat gembira kerana berjaya meraih mata pertama saya musim ini,” katanya yang berjaya meraih sembilan mata.

Dalam pada itu, Saiful berharap dia mampu mengatur strategi lebih baik memandang­kan mereka akan berkunjung ke litar lebih kecil di Terengganu nanti.

“Sudah pasti saya akan ambil perlumbaan di Sepang sebagai pengalaman terbaik saya bersama pasukan. Saya akan me­ngubah strategi lebih baik pada perlumbaan di Terengganu nanti,” ujarnya.

Perlumbaan tersebut dimenangi pelumba Ipone Yamaha YY Pang Racing Team, Fareez Afeez Abd. Rahman, manakala Aliff Danial Asri (Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor) tempat kedua dan tempat ketiga menjadi milik Hafiza Rofa (ONEXOX TKKR Racing Team).

Sementara itu, dalam saingan CP150, pelumba ONEXOX TKKR Racing Team, Akid Aziz berjaya menjuarai perlumbaan tersebut selepas bijak mencari ruang memintas Ahmad Afif Amran di pusingan terakhir.

Pelumba Petronas Sprinta Racing, Afif terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan tempat kedua, manakala Nazirul Izzat Bahauddin (Petronas Sprinta Racing Yamaha Maju Motor) di kedudukan ketiga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI