fbpx

Lelaki tempatan, wanita Indonesia didakwa seludup 7 migran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rohani dan Jafperi diiringi anggota Imigresen ketika tiba di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Seorang bekas kakitangan kerajaan berstatus kontrak dan seorang wanita warga Indonesia didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menjalankan penyeludupan migran tujuh warga Indonesia di sebuah kuarters penjawat awam di Putrajaya, Jun lalu.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh iaitu Jafperi Noor, 54, dan warga Indonesia Rohani, 49, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mengikut pertuduhan kedua-dua tertuduh didakwa telah mencapai niat bersama telah menjalankan penyeludupan migran ke atas enam lelaki dan seorang wanita yang kesemuanya warga Indonesia berusia antara 24 hingga 51 tahun

Kesalahan itu didakwa dilakukan sebuah kediaman kuarters penjawat awam di Jalan Kasturi P17  Presint 17, Putrajaya pukul 10.15 malam pada 22 Jun lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang boleh dihukum di bawah akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh dikenakan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya daripada Jabatan Imigresen Malaysia, Nor ‘Amalina Ismail tidak menawarkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh memandangkan kesalahan tersebut tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, peguam Farhan Maarof yang mewakili Jefperi memohon mahkamah memberikan ikat jamin dengan alasan, anak guamnya telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan.

“Tertuduh yang sekarang merupakan pengusaha kedai runcit di Kelantan adalah bapa empat orang anak berusia 19 hingga 29 tahun dan tidak pernah mengganggu mana-mana saksi,” kata peguam itu.

Sementara peguam  K.Vijeyni yang mewakili Rohani tidak membuat sebarang permohonan terhadap ikat jamin.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Hakim Rozina tidak mengeluarkan sebarang perintah jaminan sehingga peguam memfailkan permohonan secara bertulis berkaitan ikat jamin.

Tarikh 14 Oktober ditetapkan untuk sebutan semula kes. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI