fbpx

Simpatilah pada alam sebelum musibah tiba

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
SHARKAWI LONDING
WAKIL KOSMO! JOHOR

TANGGAL 14 September lalu, empat wanita mengalami sesak nafas, loya, muntah serta pengsan sebelum dikejarkan ke hospital selepas mengadu terhidu bau sisa toksik kimia dalam kejadian di Kampung Baru Sri Aman, Seelong, Kempas, Johor Bahru.

Selain itu, terdapat kira-kira 128 penduduk terdiri daripada 37 keluarga pula terpaksa dipindahkan ke Balai Raya Kampung Sinaran Baru sebagai langkah awal bagi memastikan keselamatan komuniti sekitar.
Berdasarkan situasi terbaharu ini, modus operandi yang dikesan adalah sama seperti kejadian di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor pada 7 Mac 2019.

Pemain industri mengambil jalan mudah dengan membuang lebihan bahan kimia ke dalam tali air sebelum dialirkan ke Sungai Tawakal yang terletak di kampung berkenaan.

Susulan itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Johor, Datuk Yahaya Madis berkata, hasil siasatan awal daripada ujian terhadap sampel yang diperoleh mendapati wujudnya sisa seperti minyak hitam iaitu Methyl Alcohol atau Metanol.

Namun, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor masih menunggu keputusan terperinci daripada Jabatan Kimia untuk mengetahui bahan kimia sebenar yang dibuang sebelum bertindak balas sehingga menyebabkan pencemaran udara.

Bertindak pantas, JAS Johor dengan kerjasama Polis Johor berjaya menahan sembilan individu termasuk seorang pemilik stor simpanan kenderaan berat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM500,000.

Hukuman ini jika diteliti adalah satu hukuman setimpal yang dikenakan ke atas pesalah jenayah alam sekitar jika mereka didapati bersalah.

Namun, ada suara-suara sumbang memekik yang menuding jari ke arah pihak kerajaan dengan mendakwa penguatkuasaan lemah, hukuman rendah dan tidak setimpal menyebabkan berlakunya kes berrulang.

Merujuk kepada keputusan kes mahkamah pada 21 Mei lalu, sebuah syarikat didenda sebanyak RM115,000 oleh Mahkamah Sesyen Klang, Selangor selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan melibatkan jenayah alam sekitar.

Mengulas lanjut mengenai isu ini, Felo Akademi Sains Malaysia (ASM), Prof. ChM. Dr. Abdull Rahim Mohd Yusof berkata, selain pendekatan penguatkuasaan undang-undang, perkara asas paling penting dalam mengekang pencemaran terus berlaku adalah melalui proses pendidikan.

Menurutnya, pendidikan yang dimaksudkan adalah berkaitan dengan pendidikan terhadap kelestarian alam sekitar.

“Jika dilihat, apabila berlaku sesuatu isu pencemaran, masyarakat kita biasanya akan menuding jari antara satu sama lain.

“Pendidikan alam sekitar adalah elemen terpenting dalam mengatasi masalah ini dan kita sedia maklum bahawa sesuatu pencemaran akan memberi ke­san bukan sahaja kepada manusia tetapi juga hidupan lain se­perti tanaman dan haiwan.

“Akan tetapi, masih ramai yang mengambil jalan mudah untuk melupuskan sisa toksik secara haram tanpa memikirkan kesannya kepada alam,” katanya.

Untuk rekod, sebanyak 29 sungai di Johor dikategorikan tercemar dan berada dalam Kelas III dan IV mengikut Laporan Kualiti Alam Sekeliling Malaysia bagi tahun 2019 yang dikeluarkan Kementerian Alam Sekitar dan Air melalui Jabatan Alam Sekitar.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI