fbpx

Lokasi tanah runtuh diisytihar kawasan bencana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amirudin bercakap kepada pemberita selepas hadir meninjau kediaman penduduk yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Kemensah Height di sini. - Foto FARIZ RUSADIO

AMPANG JAYA – Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor hari ini mengisytiharkan bahawa lokasi kejadian tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights di sini sebagai kawasan bencana.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya telah melakukan tinjauan di lokasi yang teruk terjejas bagi mengenal pasti tindakan susulan yang akan diambil kelak.

“Tinjauan dilakukan mendapati runtuhan berlaku di lot bernombor 6, 8 dan 10 lalu mengakibatkan laluan sungai terhalang lalu melimpah sehingga menjejaskan beberapa unit town house yang dihuni oleh 27 keluarga.

“Susulan kejadian, Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor telah mengisytiharkan kawasan ini sebagai kawasan bencana yang tidak selamat untuk dihuni dan kesemua penghuni di unit town house tersebut telah diarah untuk berpindah sementara,” katanya pada satu sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Amirudin, pihaknya turut mengambil inisiatif menyalurkan sokongan dan bantuan kepada semua penduduk yang terjejas termasuk penyerahan bantuan awal kewangan RM500 kepada setiap keluarga.

“Kerajaan negeri menyalurkan bantuan awal RM500 kepada setiap keluarga yang terkesan untuk digunakan dalam tempoh perpindahan sementara itu dan kita akan dapatkan maklumat dari semasa ke semasa sama ada kawasan ini selamat atau tidak untuk mereka pulang.

“Lokasi runtuhan adalah melibatkan tanah hak milik, jadi sudah pasti apabila laporan teknikal dari Jabatan Mineral dan Geosains dilengkapkan dalam masa tiga hari ini kita akan maklumkan apakah tindakan pemulihan yang perlu dilakukan oleh pemilik tanah atau premis terlibat,” katanya.

Tambah beliau, Majlis Perbandaran Ampang Jaya telah mengambil tindakan awal dengan meletakkan kain kanvas di lokasi yang terjejas bagi mengelakkan berlaku pendedahan kepada air atau unsur-unsur lain yang mungkin boleh mengakibatkan runtuhan baharu.

“Kejadian tanah runtuh yang terjadi di lokasi ini bukanlah sesuatu yang lazim memandangkan kawasan ini bukan kawasan ‘hotspot’ seperti di Bukit Antarabangsa dan UK Perdana jadi kita perlukan laporan yang lengkap berhubung perkara ini untuk melihat apa yang perlu dilakukan sebagai tindakan susulan,” ujar beliau. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI