SETIAP daripada kita pasti ada pengalaman menyewa kenderaan untuk memudahkan pergi ke mana-mana di lokasi pelancongan dalam negara.
Minggu ini kolum Tip Kembara berkongsi beberapa perkara yang perlu dilakukan dan diberi perhatian ketika membuat tempahan kereta sewa terutamanya mereka yang berkeluarga semasa melancong.
Ini perlu diberi perhatian serius bagi membolehkan fikiran kita bebas daripada perkara-perkara tidak sepatutnya bagi membolehkan percutian dalam keadaan tenang dan damai.
——————————————————————————————————————-
SALAH satu keperluan utama apabila bercuti di sesuatu lokasi pelancongan adalah kenderaan bagi memudahkan pergerakan dari satu lokasi ke lokasi lain.
Biasanya tempat pelancongan berhampiran bandar besar mempunyai kemudahan pengangkutan awam terbaik seperti bas atau teksi.
Di luar bandar, pengangkutan awam terhad dan ini memaksa pengunjung menyewa kenderaan.
Biasanya, mereka bercuti bersama ahli keluarga atau kumpulan melebihi dua orang akan menyewa kereta kerana lebih jimat berbanding menempah kenderaan daripada pihak hotel.
Dengan kereta sewa itu, anda boleh pergi ke mana-mana destinasi tanpa sebarang masalah selagi tidak melebihi tempoh sewaan.
Bagaimanapun, menyewa kereta di tempat pelancongan mempunyai risiko tersendiri sekiranya anda tidak mengambil langkah berhati-hati.
Minggu ini, Horizon berkongsi beberapa perkara yang perlu diberi perhatian sekiranya berhajat menyewa kereta apabila melancong.
1. Membuat tempahan
Segera buat tempahan kereta sebaik saja lawatan anda telah disahkan bagi mengelakkan kenaikan harga pada saat terakhir.
Jika anda bercuti secara spontan, membuat tempahan kereta sewa pada malam sebelumnya boleh menjimatkan wang.
Seperti penerbangan, terdapat pelbagai syarikat sewaan kereta.
Justeru, reviu secara online boleh membantu anda mencari syarikat sewaan yang baik di sesuatu lokasi.

2. Bawa kit tambahan
Biasanya, syarikat sewaan kereta tidak menawarkan peralatan tambahan seperti kerusi bayi atau kerusi kanak-kanak.
Bagi mengelakkan berlaku masalah dengan pihak berkuasa, anda disaran supaya membawa peralatan tersebut sendiri.
Elakkan menyewa peranti navigasi satelit, sebaliknya anda boleh gunakan telefon pintar dengan memuat turun aplikasi penunjuk arah.
3. Model kenderaan
Ramai tidak sedar mereka menyewa kereta berdasarkan buatan dan model berbanding harga atau saiz.
Biasanya, kereta berjenama mewah hadir pada harga lebih mahal berbanding model biasa. Sebaiknya, pilih kenderaan yang menawarkan spesifikasi terbaik pada harga berpatutan.
Misalnya, Perodua Myvi lebih murah berbanding Volkswagen Polo meskipun mempunyai spesifikasi ruang hampir serupa.
4. Pemilihan waktu
Pilih waktu pengambilan dan penghantaran yang memberikan ruang untuk anda bergerak.
Ramai tidak menyedari bahawa syarikat sewa kereta tidak akan menunggu jika kita terlambat.
Jika anda melancong menggunakan kapal terbang, berikan ruang satu jam untuk melalui kawalan pasport dan mengambil bagasi.
Paling penting, hantar kereta mengikut waktu ditetapkan bagi mengelak syarikat sewaan mengenakan caj penghantaran lewat.

5. Ambil insurans
Kereta sewa biasanya mempunyai perlindungan asas, tetapi ia tidak meliputi semua bahagian kereta.
Jika inginkan perlindungan tambahan, anda boleh beli insurans apabila menempah kereta.
Beli secara online daripada penyedia insurans atau beli daripada kakitangan syarikat sewaan kereta semasa anda mengambil kenderaan itu.
Jika berlaku sesuatu yang buruk seperti kemalangan, anda tidak perlu mengeluarkan kos tinggi.
















