fbpx

Fasa berbeza Beto Kusyairy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BETO KUSYAIRY

SELEPAS dua dekad mengharungi segala sepak terajang dunia lakonan dengan 17 judul dan puluhan naskhah televisyen, aktor Beto Kusyairy kini tidak lagi sembrono menyahut semua tawaran yang jatuh ke ribanya.

Bukanlah sombong atau mendabik dada, namun Beto yang selayaknya dijulang sebagai antara pelakon terbaik industri seni tempatan kini berpegang prinsip berbeza berbanding awal kemunculannya dahulu.

Kata lelaki berusia 41 tahun itu, hasil disiplin dan komitmen terhadap lakonan, karier seninya kini berada pada fasa berbeza.

“Saya sekarang berada dalam fasa memilih kerja apa yang ingin saya lakukan. Fasa menerima dan buat saja semua tawaran yang datang sudah berlalu.

“Sekarang adalah fasa untuk memberikan hasil kerja yang tidak memalukan diri, keluarga dan orang yang menonton. Saya mahu bekerja dalam naskhah yang memberi impak kepada diri dan masyarakat. Selagi saya mampu memilih karya, saya akan berbuat begitu,” ujar Beto.

Justeru, Beto atau nama sebenarnya, Nurkusyairy Zakuan Osman amat menitikberatkan skrip, pelakon gandingan dan persediaan praproduksi sesebuah naskhah sebelum memberikan persetujuan.

DEMI menjaga keselamatan diri dan keluarga, Beto menolak untuk terlibat dalam produksi yang melanggar SOP dengan menerima pelakon dan kru tidak divaksinasi.

Biarpun begitu, pelakon filem Bisik Pada Langit itu bersikap terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pengarah dan pelakon, namun syaratnya, mereka perlu benar-benar serius dalam menghasilkan naskhah yang baik.

“Saya tidak kisah bekerja dengan sesiapa pun termasuk orang baharu. Bagi saya, kita semua bekerja untuk sebuah naskhah. Penting untuk semua memberikan komitmen dan kesungguhan termasuk pengarah, pelakon dan kru.

“Sebenarnya, bukan mudah untuk menjadi seorang pelakon. Sekarang begitu ramai pelakon baharu muncul termasuklah Instafamous. Jadi, tugas pelakon dan kru yang lebih berpengalaman adalah memberi mereka inspirasi dan menunjukkan cara yang betul bekerja sebagai pelakon.

“Mungkin daripada seorang Instafamous, dia akan menjadi seorang pelakon yang baik pada masa depan.

“Saya juga melalui proses tersebut, tetapi disebabkan saya jatuh cinta dengan bidang lakonan, saya cuba belajar untuk memberi yang terbaik kepada penonton,” ujarnya.

BETO jatuh cinta dengan skrip drama Penghulu Interim kerana naskhah tulisan Aloy Paradoks itu cukup realistik dan dekat dengan masyarakat.

Jangan penting diri

Sebagai pekerja seni yang sudah berbulan-bulan berehat akibat pelaksanaan Perintah Kawalan pergerakan (PKP), Beto meluahkan rasa lega apabila kerajaan mengumumkan pembukaan semula industri kreatif bermula 9 September lalu.

Pada masa sama perasaan bimbang masih bersarang di hatinya, berikutkan penularan virus Covid-19 yang masih belum reda.

“Saya gembira dapat bekerja semula, tetapi tetap ada kerisauan. Suka atau tidak, kita harus belajar menerima untuk hidup bersama virus ini.

“Mahu atau tidak, inilah kerjaya saya. Saya sendiri tidak tahu melakukan pekerjaan lain. Lakonan satu-satunya kerja yang saya tahu dan mampu buat dengan baik. Oleh itu, saya harus menyesuaikan diri dengan keadaan pada hari ini,” luah Beto.

Demi menjaga keselamatan diri dan keluarga, Beto menyatakan pendiriannya enggan bekerja dengan mana-mana produksi yang mengambil pelakon dan kru yang tidak divaksin.

“Saya secara peribadi tidak akan terlibat dengan produksi yang mengambil pelakon dan kru yang tidak mahu mengambil vaksin.

“Sebab saya fikirkan keluarga saya yang ada budak kecil dan orang tua di rumah. Bagi saya lebih baik mencegah daripada mengubati,” ujar Beto yang ditemu bual secara virtual pada sidang akhbar drama siaran Awesome TV baru-baru ini.

Dalam pada itu, bintang drama KL Gangster: Underworld itu turut menyelar tindakan pelakon dan kru yang tidak lengkap vaksinasi tetapi bekerja di set penggambaran seperti biasa sebagai mementingkan diri.

“Saya tahu vaksin adalah hak individu, kita tidak boleh memaksa kerana itu pemahaman dan pendirian masing-masing. Namun, apabila melibatkan kerja secara berkumpulan, saya rasa tidak patut ada sikap penting diri.

“Jika tidak percaya vaksin janganlah sampai menyusahkan orang lain. Walaupun sudah lengkap vaksin, kita masih boleh menjadi pembawa dan melibatkan orang lain. Puncanya daripada seorang yang mementingkan diri itu. Bagi saya perkara sebegitu tidak adil,” kata Beto lagi.

SELEPAS Penghulu Interim, Beto dan Nadiya Nissa bakal muncul dengan sebuah filem berjudul Imaginur yang kini masih dalam peringkat pos- produksi.

Pengerusi flat

Beralih bicara tentang karier seninya, Beto kini sedang hangat dengan drama komedi berjudul Penghulu Interim yang siaran Awesome TV bersama Nadiya Nissa, Roy Azman dan Issey.

Dikenali sebagai pelakon yang cukup versatil, Beto menjelaskan karya tulisan, Aloy Paradoks itu cukup realistik dan begitu dekat dengan masyarakat, sekali gus membuatkan hatinya terbuka untuk menerima tawaran.

Drama terbitan Issey Fazlisham daripada Red Bean Productions itu mengisahkan perjalanan seorang lelaki bernama Borhan lakonan Beto yang menjadi pengerusi flat tanpa kerelaannya.

“Saya terima tawaran untuk berlakon dalam Penghulu Interim kerana drama ini sangat realistik dan mudah dikaitkan dengan kehidupan seharian. Contohnya, isu lif rosak, curi kasut, masalah air dan percubaan membunuh diri, semua itu memang berlaku.

“Watak saya sebagai Borhan sendiri yang dilantik sebagai pengerusi flat secara tanpa rela juga cukup mencabar. Paling berat adalah cuba membawa penonton merasai apa yang Borhan rasa selaku pemimpin.

Bukan mudah untuk menjadi pemimpin yang bertanggungjawab, huru-hara kehidupan Borhan,” tutur Beto dalam tawa.

Paling mencabar sepanjang menjalani penggambaran drama sebanyak 24 episod berkenaan kata Beto adalah lokasi penggambaran yang terletak di pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri, Selayang, Kuala Lumpur.

Meskipun begitu Beto bersyukur kerana pelakon gandingannya adalah aktres Nadiya Nissa. Sudah kerap bekerjasama, jelas Beto, Nadiya menjadikan kerja di set penggambaran lebih mudah.

“Berlakon dengan Nadiya memang mudah, lemparkan apa sahaja energi ketika berlakon dia pasti dapat menyambutnya dengan begitu baik,” ulas Beto tentang Nadiya yang memegang watak isterinya dalam drama tersebut.

Ditebak soalan, adakah Beto mahu terjun dalam dunia politik atau memegang sebarang jawatan seperti mana lakonannya dalam drama Penghulu Interim, sambil ketawa Beto terus menggelengkan kepalanya.

Meskipun hanya melalui pengalaman menjadi pemimpin menerusi lakonan, ujar Beto perkara tersebut cukup membuka matanya bahawa bukan mudah untuk menjadi seorang pemimpin yang baik.

“Tidak, saya tidak sanggup. Apa yang saya belajar daripada drama ini, tanggungjawabnya begitu berat.

“Sebagai Beto, saya tidak mahu perkara tersebut terjadi kepada keluarga saya. Kita sudah tahu tugas pemimpin itu sukar, buat apa saya serah diri. Secara peribadi, saya memang bukan orang yang layak dan mampu untuk memikul tanggungjawab berat tersebut. Cukuplah saya memimpin keluarga sahaja,” luah Beto mengakhiri bicara.

BETO tidak berminat menyertai politik atau pemimpin sesebuah organisasi, bagi cukup menjadi suami dan ketua keluarga dengan baiik.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI