fbpx

Zahid tiada kaitan dengan pinjaman RM250,000 kepada adiknya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tiada kena mengena mahupun mendapat imbuhan daripada pinjaman wang RM250,000 yang diberikan kepada adik lelakinya oleh seorang ahli perniagaan.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik berhujah, pendakwaan tiada asas untuk menyatakan bekas Timbalan Perdana Menteri memainkan peranan dalam pinjaman wang daripada Junaith Asharab Md. Shariff kepada Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi.

Hujahnya, Junaith yang merupakan saksi pendakwaan ke-36 ketika memberi keterangan menyatakan, Mohamad Nasaee menghubunginya pada akhir Jun 2016 untuk mendapatkan pinjaman dan berjanji untuk membayar balik dalam tempoh dua bulan.

Beliau berhujah, anak guamnya tidak tahu berkenaan pinjaman tersebut yang kemudian telah dibayar oleh Mohamad Nasaee dengan memasukkannya ke dalam akaun Tetuan Lewis & Co.

Selain itu, hujahnya, Mohamad Nasaee juga tidak dipanggil memberi keterangan sebagai saksi bagi menyokong kes pendakwaan.

Sehubungan itu, Hisyam berhujah pendakwaan tidak mempunyai asas untuk menyatakan wang RM250,000 yang diberikan itu merupakan sebagai dorongan untuk menyerahkan projek MyEG kepada sebuah syarikat.

Penghujahan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Ahmad Zahid, 68, dibicarakan terhadap 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI