PENGGUNAAN kaca mata hitam sememangnya terkenal sejak dahulu lagi untuk mengelakkan mata seseorang daripada silau dan panas mentari ketika keluar berjalan-jalan bersama rakan dan keluarga.
Pernah satu ketika, penggunaannya dianggap barangan mewah lantaran ia dikeluarkan oleh syarikat fesyen yang besar dan berpengaruh di dunia dan hanya mampu dibeli oleh golongan berada sahaja.
Bagaimanapun sesuai dengan peredaran masa, kini cermin mata hitam menjadi pilihan bagi mereka yang tidak mampu untuk memiliki barangan mewah lain seperti beg tangan dan pakaian jenama mewah.
—————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————Oleh FAIZAL HAMID
CERMIN mata hitam merupakan alternatif kepada mereka yang mahukan barangan seperti beg tangan dan pakaian daripada jenama mewah, tetapi tidak mampu untuk memilikinya kerana harga yang melampau.
Sememangnya kasut, alat solek, wangian berjenama masih lagi dalam lingkungan produk yang boleh dimiliki oleh kebanyakan kita, tetapi ia tidak mempunyai impak segera walaupun dari jarak jauh.
Berbeza jika anda memakai kaca mata berlogo jenama antarabangsa kerana ia bukan hanya memberi nafas baharu kepada pakaian yang telah kita miliki, malahan merupakan salah satu cara paling ekonomi untuk kita mengikut peredaran gaya ataupun trend terkini.
Lupakan sahaja kasut dan gincu mewah daripada jenama antarabangsa serta juga bau haruman atau wangian lembut yang memaparkan nama jenama mewah di atas botolnya.
Kini, apabila membicarakan tentang kemewahan yang mampu dimiliki bukan hanya golongan atasan, sememangnya tertumpu pada bahagian mata kita.
1. Lebih impak
Peminat fesyen khususnya, menggayakan pemakaian kaca mata hitam untuk memberi lebih impak kepada penampilan mereka.
Kini, lebih banyak jenama kaca mata hitam yang tidak begitu mahal di pasaran, dibandingkan dengan kategori aksesori lain. Sememangnya aksesori itu mempunyai variasi pilihan rekaan dalam pelbagai bentuk, saiz, hiasan dan perincian untuk cita rasa semua individu.
Selalunya, suai padan beg tangan dan kasut sedondon adalah yang paling diutamakan.
Kini memadankan kaca mata dengan pakaian adalah cara paling pantas, berkesan, mudah, serta lebih menjimatkan untuk menyerlahkan lagi gaya dan penampilan individu agar lebih segar.
2. Popular sepanjang zaman
Walaupun di Barat, kaca mata hitam paling popular digayakan pada musim panas, tetapi sejak kebelakangan ini, ia telah menjadi aksesori evergreen yang dipakai sepanjang tahun.
Pembeli kini tidak lagi membeli kaca mata hitam semata-mata untuk melindungi mata daripada pancaran matahari yang merosakkan mata.

3. Penjagaan mata
Tarikan kaca mata hitam bersaiz besar yang kini menjadi kegilaan mencerminkan keperluan untuk penjagaan mata dalam gaya baru yang lebih fashionable.
Paling penting, ia juga boleh menyembunyikan mata yang lebam setelah penat berparti lewat malam, juga ketika kita langsung tidak sempat memakai alat solek.
4. Gaya retro
Gaya paling terbaharu dan popular adalah yang diinspirasikan daripada gaya kaca mata hitam retro sekitar tahun 1950-an.
Bingkai plastik kini kembali dengan gaya kontemporari ilham mata kucing yang sudah pasti mengingatkan kita pada ikon perfilemen Barat seperti Marilyn Monroe.
Selain itu, rekaan kaca mata hitam berbingkai kristal yang lut sinar atau jernih juga tidak kurang hebatnya.
5. Harga mewah
Anda perlu mendapatkan kaca mata hitam berjenama semasa masih dalam lingkungan harga berpatutan.
Ia adalah perlu sebelum memasuki kategori barangan mewah yang tidak mampu dimiliki kerana harganya pasti terlalu mahal suatu masa nanti.
Jika anda tidak percaya, lihat sahaja harga kaca mata hitam edisi terhad pelbagai jenama mewah yang mana bingkainya diperbuat daripada tanduk semula jadi.
Ia merupakan bahan paling eksklusif dan unik.
Ada juga jenama terkenal yang menghiasi rekaan kaca mata hitamnya penuh dengan berlian.
Rekaan yang hebat itu bukan dijual di pasaran pada harga ratusan ringgit, tetapi boleh mencecah puluhan ribu ringgit.
——————————————————————————————————————————————————————————————————————FAIZAL HAMID ialah Pensyarah Kanan Jabatan Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor.














