fbpx
Jek diapit oleh kedua-dua isterinya dalam majlis perkahwinannya bersama Vivian. – Sumseuldate

Seminggu kahwin sudah ada madu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA – Seorang pemuda di wilayah Sumatera Selatan menjadi sensasi internet kerana didakwa mengahwini dua wanita secara serentak, lapor laman berita Suara.com kelmarin. 

Pemuda itu yang dikenali sebagai Jek, 24, berkata, tindakannya untuk berpoligami sebenarnya tidak dirancang kerana dia hanya menurut kehendak datuk dan neneknya. 

Menurutnya, ketika dia pulang ke kampung untuk bercuti baru-baru ini, datuk dan neneknya memperkenalkan dia dengan keluarga isteri pertamanya, Linda.

“Kedua-dua keluarga bersetuju agar kami berkenalan. 

“Sebagai seorang cucu yang baik dan berniat untuk membahagiakan kedua-dua buah keluarga, saya menuruti permintaan mereka untuk berkahwin dengan Linda pada Ogos lepas,” katanya. 

Meskipun begitu, Jek mengaku bahawa dia sebenarnya sudah mempunyai gadis pilihan yang dicintainya sejak dua bulan lalu. 

Katanya, dia mengenali gadis tersebut, Vivian, ketika baru tiba di kampung datuk dan neneknya. “Saya terlebih dahulu jatuh cinta pada Vivian dan saya tetap ingin berkahwin dengannya kerana rasa cinta yang tulus.

“Justeru, saya bersikap jujur dan menceritakan perkara itu kepada Linda kerana enggan berselindung daripadanya. 

“Saya memberitahu Linda bahawa saya ingin mengahwini Vivian,” ujar Jek. 

Tambahnya, dia turut mengakui bahawa sanggup menceraikan Linda yang ketika itu baru saja dinikahinya selama seminggu sekiranya wanita itu enggan membenarkan dia berkahwin dengan Vivian. 

Isteri pertamanya akhirnya bersetuju dan memberi keizinan kepada Jek untuk berkahwin dengan kekasih hatinya.

“Perkahwinan kami hanya selang enam hari. Ketika majlis perkahwinan bersama Vivian, pihak keluarga meminta Linda memakai kembali pakaian pengantin agar dia turut berasa bahagia. 

“Disebabkan itu, terdapat gambar tular yang mengatakan bahawa saya bernikah dengan dua wanita sekali gus, sedangkan jarak perkahwinan kedua-duanya adalah selang seminggu,” ulas Jek.

Menurut lelaki itu, sebagai suami, dia berjanji akan bersikap adil kepada kedua-dua isterinya.

“Saya mencintai kedua-duanya dan berharap dapat berlaku adil,” katanya. – AGENSI