fbpx
NAFUZI telah membuktikan kemampuannya mengemudi TFC hingga pasukan Pantai Timur itu sedia bersaing merebut naib juara Liga Super.

Nafuzi digesa abai komen negatif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF

JURULATIH berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim yakin Mohd. Nafuzi Zain masih pe­ngendali terbaik untuk Terengganu FC (TFC) di sebalik kritikan diterima pengendali muda itu pada masa ini.

Irfan Bakti yang kini mengemudi Kuching City FC berkata, Nafuzi tidak perlu menghiraukan desakan dan komen negatif daripada penyokong, sebalik­nya fokus untuk menghadapi baki saingan musim ini.

“Saya kenal dia (Nafuzi) dan kami sentiasa berhubung. Nasihat saya, bersabar dan kurangkan gangguan luar padang yang boleh menjejaskan pasukan.

“Bola sepak ada turun naik. Perlu diingat bahawa TFC bukan di zon penyingkiran, sebaliknya di kelompok atas dan masih dalam perebutan tangga kedua Liga Super,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Irfan Bakti percaya Nafuzi yang pernah menjadi pembantunya pada tahun 2017 dan 2018 amat berpotensi dan mampu membawa TFC ke pe­ringkat lebih tinggi.

Tegasnya, Nafuzi sudah memberikan yang terbaik buat TFC, namun beliau mengingatkan peminat skuad Penyu agar bersabar kerana proses pembangunan sesebuah pasukan memakan masa.

“Sebagai bekas ketua jurulatih TFC, saya sentiasa mengikuti rapat perkembangan pasukan itu dan amat berbangga dengan pencapaian mereka di bawah kendalian Nafuzi.

“Apa pun nasihat saya kepada Nafuzi, sentiasa berbincang dengan pemain dan pengurusan agar sentiasa mendapat kepercayaan pemain dan bekerja tanpa gangguan,” katanya.

TFC akan menamatkan sai­ngan Liga Super dengan aksi penting bertemu Penang FC di tempat lawan dalam misi hidup mati memburu slot automatik ke Piala AFC 2022.

POPULAR