fbpx

Jawatankuasa Ombudsman pantau integriti perkhidmatan awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Rosdy

KUANTAN – Kerajaan negeri bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Ombudsman Negeri Pahang (JONP) bagi menguruskan aduan mengenai integriti dan penyampaian perkhidmatan awam di negeri ini.

Penubuhan jawatankuasa itu adalah sebagai langkah bagi menangani aduan mengenai salah laku rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan serta pelanggaran tata kelakuan serta etika organisasi yang melibatkan perkhidmatan awam negeri ini yang tidak dapat diselesaikan di peringkat jabatan atau agensi.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Unit Integriti, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dilantik sebagai urusetia kepada JONP yang bertindak mengadakan mesyuarat secara berkala bagi menangani isu-isu berkaitan di bawah bidang kuasanya.

“JONP merupakan model digunapakai kerajaan negeri Sarawak, yang merupakan perintis dalam kalangan negeri-negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam memperkenal dan melaksanakannya.

“Jawatankuasa tersebut adalah yang pertama dicadangkan kepada Kerajaan Negeri oleh Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), Jabatan Perdana Menteri pada tahun lalu.

“Bermula dari penubuhan itu, usaha untuk merealisasikannya dibuat termasuk kajian lebih mendalam dilakukan oleh pegawai-pegawai Unit Integriti, Pejabat SUK Negeri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh ahli majlis mesyuarat kerajaan (MKK) negeri, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abdul Razak dengan keahliannya terdiri daripada SUK; Penasihat Undang-undang Negeri; Pengarah, Jabatan Audit Negara Negeri; Pengarah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri; Ketua, Unit Integriti, pejabat SUK negeri; dan, Ketua, Unit Audit Dalam, Pejabat SUK Negeri.

Katanya, selain itu, ia turut melantik Pasukan Siasatan Dalaman (PSD) bagi aduan-aduan salah laku jenayah rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan serta pelanggaran tata kelakuan dan etika organisasi yang memerlukan siasatan terperinci.

“JONP juga akan meneliti hasil siasatan atau maklum balas aduan dan membuat keputusan berkaitan salah laku jenayah rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan serta pelanggaran tata kelakuan dan etika organisasi yang melibatkan perkhidmatan awam negeri Pahang.

“Antara lain, JONP juga bertanggungjawab mempertimbangkan dan meluluskan sebarang syor dan cadangan penambahbaikan pengurusan aduan salah laku berkaitan integriti penjawat awam negeri,” katanya.-K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI