fbpx

Ibu tunggal mengaku salah biar anjing serang kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
K. Saroja Devi dibawa keluar selepas mengaku bersalah atas tuduhan cuai membiarkan anjing peliharaannya sehingga mencederakan seorang kanak-kanak perempuan di Mahkamah Majistret Taiping hari ini.

TAIPING – Seorang ibu tunggal mengaku bersalah menyebabkan seorang kanak-kanak perempuan 12 tahun cedera dengan membiarkan anjing peliharaannya menyerang mangsa Julai lalu.

K. Saroja Devi, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Adibah Abdul Kadir.

Ibu tujuh anak itu didakwa cuai membiarkan anjing peliharaannya mencederakan kanak-kanak itu di Kampung Larut Tin Sambungan pada pukul 5 petang 10 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara, denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Faakihin Ahmad Fauzi manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Hajar Hamzah.

Terdahulu, Nur Faakihin menawarkan jaminan RM2,000 kepada tertuduh namun Siti Hajar memohon jumlah itu dikurangkan kepada RM500 kerana anak guamnya hanya mengambil upah sebagai tukang masak.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM500 dan menetapkan 25 Oktober ini untuk laporan perubatan mangsa sebelum menjatuhkan hukuman. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI