BAGI mereka yang mempunyai minat mendalam dalam aktiviti pendakian sama ada bukit atau gunung, cuaca panas atau hujan tidak menjadi halangan buat mereka asalkan dapat bersama kawan-kawan atau kumpulan bagi melakukan aktiviti lasak itu.
Minggu ini, kolum Tip memberikan beberapa panduan untuk melakukan pendakian ketika musim hujan memandangkan jalan mungkin licin dan agak membahayakan kepada para pendaki tegar.
Dalam hal ini, mereka perlu lebih berhati-hati agar tidak ditimpa sebarang kecelakaan memandangkan terdapat juga aliran air deras sepanjang pendakian ketika hujan.
———————————————————————————————————————————————————————————————————————–
CUACA merupakan perkara yang perlu diberi perhatian jika kita mahu melakukan aktiviti luar, terutamanya ketika menyertai pendakian di bukit atau gunung.
Pendakian akan sedikit mencabar pada hari hujan dengan laluan tanah yang licin, berair dan pandangan menjadi sedikit terhad.
Mungkin langit kelihatan cerah di awal pendakian, tetapi ia boleh berubah secara tiba-tiba menjadi mendung dan mencurahkan air hujan yang sangat banyak.
Justeru, kita perlu sentiasa bersedia terhadap apa jua kemungkinan cuaca, bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan.
Berikut Horizon berkongsi beberapa tip penting untuk aktiviti mendaki pada hari hujan agar anda dapat menikmatinya dan selamat naik serta turun dari bukit atau gunung.
1. Keadaan gunung atau bukit
Sebelum membuat pendakian, buat ulang kaji mengenai keadaan muka bumi bukit atau gunung terbabit termasuk tahap kesukaran dan persekitarannya.
Lakukan perbincangan bersama ahli kumpulan agar dapat memilih lokasi pendakian yang sesuai dengan musim hujan.
Elakkan memilih laluan terlalu sukar hingga mendatangkan bahaya terutama ketika hujan dengan air mengalir deras.

2. Berjalan dengan konsisten
Aktiviti pendakian sangat mencabar mental, apatah lagi ketika berhadapan laluan berair dan becak ketika hujan, selain kepenatan melampau.
Oleh itu, jangan hentikan langkah pendakian, tetapi bergerak secara konsisten walaupun perlahan.
Jangan berhenti terlalu lama dalam keadaan basah.
Cuba gagahkan diri untuk bergerak kerana ia dapat menstabilkan suhu badan dan mengelakkan daripada berlaku hipotermia.

3. Baju hujan, pelindung beg dan beg kering
Baju hujan sangat penting untuk dibawa bersama sebagai langkah berjaga-jaga jika hujan. Ini bagi mengelakkan anda tidak basah lencun dan boleh meneruskan pendakian dalam keadaan baik.
Jangan lupa membawa bersama pelindung beg galas bagi memastikan barangan di dalamnya tidak basah.
Selain itu, beg kering kalis air wajib dibawa untuk melindungi barangan berharga seperti gajet dan peralatan elektronik daripada basah.
4. Gaiters
Giaiters berfungsi untuk melindungi kaki dari bahagian buku lali hingga ke atas agar air, lumpur dan pasir tidak masuk ke dalam kasut.
Ia penting bagi memastikan anda dapat berjalan dengan selesa tanpa gangguan benda asing.

5. Pakaian
Pilih pakaian yang cepat kering, ringan dan mudah untuk dibawa terutama ketika mendaki pada musim hujan.
Bawa bersama pakaian yang boleh menghangatkan badan seperti jaket tebal dan kalis air.













