fbpx
Najib diperintah membayar tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion kepada LHDN oleh Mahkamah Tinggi baru-baru ini. - Gambar hiasan

Mahkamah tolak rayuan Najib, anak lelaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Tun Razak dan anaknya, Datuk Mohd. Nazifuddin hari ini gagal dalam rayuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan mereka membayar cukai dan denda yang belum dibayar berjumlah RM1.69 bilion dan RM37.6 juta kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil bersama Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan Datuk Supang Lian.

Dalam penghakimannya, hakim Abdul Karim mengatakan hakim Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dalam membuat keputusan terdahulu selain secara keseluruhan rayuan kedua-dua perayu tiada merit.

“Mahkamah mendapati tiada merit dalam kedua-dua rayuan itu dan tidak ada kesalahan yang dibuat oleh hakim Mahkamah Tinggi yang memerlukan mahkamah ini (Mahkamah Rayuan) mengubah keputusan.

“Oleh itu, rayuan kedua-dua perayu ditolak dengan kos RM10,000 setiap seorang,” katanya dalam prosiding yang dibuat secara dalam talian menerusi Zoom.

Pada masa sama, mahkamah turut membenarkan permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili kedua-dua perayu untuk penangguhan sementara menunggu pemfailan kebenaran rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Hakim Abdul Karim yang membenarkan permohonan penangguhan itu berkata, kedua-dua perayu perlu memasukkan notis rayuan selewat-lewatnya Selasa ini.

Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan penggantungan sementara itu luput.

Najib dan Mohd Nazifuddin perlu membayar cukai berkenaan kepada LHDN selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan LHDN untuk penghakiman terus dimasukkan terhadap mereka.

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

Perintah terhadap Najib dan Mohd Nazifuddin dikeluarkan masing-masing pada 22 dan 6 Julai tahun lalu oleh Mahkamah Tinggi Hakim Datuk Ahmad Bache dan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.-K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN