fbpx
Gambar hiasan

Harga ayam segar di KL terkawal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Harga ayam segar di sekitar Kuala Lumpur masih lagi terkawal walaupun dilaporkan berlaku peningkatan harga di beberapa buah negeri.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur, Nurul Syarina Md. Anuar berkata, setakat ini purata harga ayam yang dijual di Kuala Lumpur adalah sekitar RM8.70.

“Hasil semakan di 93 buah premis mendapati, harga masih sekitar purata RM8.70 manakala hanya 13 premis sahaja didapati menjual pada harga lebih RM9.

“Pihak kami akan terus memantau dengan pegawai pemantauan harga mengadakan tinjauan terhadap premis sekitar kuala lumpur meliputi pasar-pasar, pasar raya besar dan pasar mini seterusnya memasukkan butiran harga ke dalam sistem aplikasi Price Catcher,” katanya kepada Kosmo! hari ini.

Nurul Syarina berkata, daripada pemeriksaan itu, pihaknya akan membuat analisa bagi mendapatkan harga purata bagi mengenal pasti sekiranya terdapat kenaikan harga yang ketara bagi ayam segar.

“Kita dapati kenaikan tidak begitu tinggi, tidak melebih tiga ke empat peratus, tetapi di negeri lain mungkin lebih kritikal.

“Justeru itu, kita akan pantau juga kerana sekiranya harga ayam di negeri-negeri sudah mula naik, kita khuatir ia turut memberi kesan kepada harga ayam di sini kerana mereka merupakan pembekal ayam segar tersebut,” jelasnya.

Katanya, pihak penguatkuasaan KPDNHEP negeri-negeri turut akan memantau kenaikan harga ayam yang dilaporkan.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan harga ayam segar di pasar-pasar awam di seluruh negara mencatatkan kenaikan ketara sehingga mencecah RM10 sekilogram sejak minggu lalu, sekali gus menimbulkan keresahan dalam kalangan pengguna dan peniaga makanan. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

 

POPULAR