fbpx

Lesap RM1,380 dipukau pasangan warga asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TANGKAP layar CCTV seorang juruwang disyaki dipukau lelaki dipercayai warga asing dalam kejadian di sebuah kedai runcit di Jalan Iskandar di Kampar, kelmarin.

KAMPAR – Seorang juruwang wanita mendakwa dipukau pasangan warga asing mengakibatkan kerugian RM1,380 dalam kejadian di sebuah kedai runcit di Jalan Iskandar di sini kelmarin.

Kejadian kira-kira pukul 4.48 petang itu berlaku ketika mangsa berusia 20 tahun berseorangan di kaunter pembayaran manakala seorang pekerja lain di stor.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Hasron Nazri Hashim berkata, kejadian berlaku ketika pasangan warga asing itu mahu membuat pembayaran dua bungkus rempah serta turut meminta menukar wang RM100.

Katanya, mangsa mendakwa dalam keadaan tidak sedar dan hanya menyedarinya selepas beberapa pelanggan lain membuat pembayaran.

“Mangsa telah membuat kiraan semula wang di dalam peti simpanan dan mendapati wang berkurangan daripada sebelumnya.

“Dia yang mengesyaki telah dipukau dan mengalami kerugian berjumlah RM1,380 segera memaklumkan kejadian itu kepada pengurus kedai,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), suspek lelaki didapati telah mengambil sendiri semua wang RM50 di dalam peti wang dan mengira di hadapan pengadu.

Katanya, semasa mengira, suspek telah melipat wang pada bahagian tangan kirinya dan memasukkan ke dalam poket seluar sebelum meletakkan kembali wang itu di dalam peti.

“Berdasarkan rakaman tersebut, suspek melakukan perkara sama sekali lagi. Sebelum beredar, dia juga dilihat mengambil wang RM100 dari peti dan memasukkan ke dalam poket seluarnya,” katanya.

Tambah beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan kedua-dua suspek yang memakai topeng mulut dan hidung.

“Siasatan kes ini dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

Terdahulu, video rakaman CCTV berdurasi satu minit 46 saat itu tular di Instagram yang memaparkan tindakan seorang lelaki mengambil wang dan mengiranya di kaunter pembayaran sebelum beredar. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI