fbpx
KEJADIAN banjir lumpur yang berlaku di KM52.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak berhampiran Bukit Tinggi pada tahun 2015. - GAMBAR HIASAN

Lokasi popular diancam aliran puing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Beberapa lokasi peranginan tanah tinggi berpotensi dilanda fenomena ­aliran puing seperti yang berlaku di kaki Gunung Jerai, Yan, Kedah pada 18 Ogos lalu.

Presiden Institut Geologi Malaysia, Abd. Rasid Jaapar ber­kata, aliran puing berpotensi berlaku di penempatan tanah tinggi seperti di Cameron Highlands, Bukit Fraser, Genting Highlands dan Kundasang di Sabah.

ABD. RASID

Katanya, antara lokasi lain adalah di kawasan yang pernah merekodkan bencana serupa iaitu­ di Pos Dipang, Perak dan Keningau, Sabah.

“Kawasan lebuh raya di tanah tinggi, walaupun tanpa penempatan juga berisiko ke­rana boleh melibatkan kenderaan dan manusia selain mengakibatkan ke­rosakan kepada lebuh raya.

“Kejadian sebegini pernah berlaku di kawasan Gua Tempurung dan Rawang di Lebuh Raya Utara-Selatan serta di Lentang dan Genting Sempah di Le­buh Raya Karak dan jalan susur ke Genting Highlands.

“Kawasan yang berisiko dikaitkan dengan unsur-unsur kehilangan nyawa dan harta benda serta infrastruktur kritikal se­perti jalan raya, paip air dan kabel ­elektrik,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Pakar geobencana, Prof. Eme­ritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo pula berkata, semua kawasan kaki pergunungan seperti Banjaran Titiwangsa dan Banjaran Bintang di Semenanjung serta Banjaran Crocker di Sabah berpotensi besar berlakunya aliran puing.

“Sehingga kini, tempat berlakunya kejadian ini yang pernah direkodkan ialah Genting Sempah pada 1995 (20 kematian), Keningau (200 kematian) dan di Pos Dipang Perak (44 kematian).

“Ciri utama kawasan yang berpotensi ialah aliran sungai dari kawasan pergunungan melalui lembah yang sempit. Kebanyakan bencana berlaku apabila terdapat perkampungan di tepi alur sungai di bahagian kaki gunung atau jalan kawasan pergunungan yang melalui lurah sempit.

“Kebanyakan kejadian tidak diketahui dan direkodkan kerana tidak menyebabkan kerosakan harta atau kehilangan nyawa,” jelas Ketua Kluster Alam Sekitar dan Kelestarian, Akademi Profesor Malaysia itu.

Sementara itu, mengulas lanjut ciri-ciri kawasan berpotensi berlaku aliran puing, Pensyarah Kanan, Jabatan Geologi, Univer­siti Kebangsaan Malaysia, Dr. Goh Thian Lai berkata, aliran ­puing merupakan fenomena semulajadi yang biasa berlaku di cerun yang curam pada bahagian hulu dan kawasan pertengahan lurah sungai di kawasan tadahan air.

Beliau berkata, aliran puing merupakan aliran air yang tepu dengan pasir, tanah, tongkol dan kelikir di dalamnya.

Katanya, ia terbahagi kepada tiga komponen atau zon iaitu zon sumber, zon pengangkut dan zon longgokan atau zon impak yang bergantung pada sudut kemiri­ngan dasar aliran.

“Bagi zon sumber, dasar su­ngai yang curam bertindak sebagai sumber sedimen, manakala sudut kemiringan dasar su­ngai mestilah berada antara 15 sehingga­ 30 darjah. Sungai ini dinamakan sebagai torrent (sungai aliran deras) dan kebiasaannya berbentuk huruf V.

“Sudut kemiringan cerun di tepi torrent biasanya melebihi 40 darjah untuk berpotensi berlakunya tanah runtuh, manakala sedimen daripada tanah runtuh terkumpul di dasar sungai menjadi sumber bahan aliran puing.

“Sedimen ini akan terangkut ke zon longgokan apabila mempu­nyai daya pengangkutan air yang mencukupi yang dihasilkan hujan lebat dengan kejadian tanah runtuh di cerun torrent boleh menyebabkan berlakunya empa­ngan tanah sementara,” kata­nya.

Tambahnya, bagi zon angkutan yang mempunyai bekalan dan daya pengangkutan air yang mencukupi serta sudut kemi­ringan dasar sungai antara enam sehingga 15 darjah, bahan sedimen aliran puing akan diangkut sehingga ke zon longgokan de­ngan torrent di bahagian tersebut biasa­nya berbentuk huruf U. -K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN