PERBUATAN membunuh diri walau apa pun alasannya tetap menjadi salah satu daripada dosa-dosa besar dalam Islam.
Ini kerana menurut para ulama dan cendekiawan Islam, perbuatan itu mendahului ketentuan Allah dalam sola hidup atau mati seseorang hamba-Nya.
Minggu ini, ruangan Syiar mengetengahkan tulisan daripada Dr. Wan Mohd. Fazrul Azdi Wan Razali ialah, Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa), Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia yang mengupas tentang isu ini yang dikatakan semakin membimbangkan ekoran stres melampau ketika dunia masih berperang dengan pandemik.
———————————————————————————
PANDEMIK Covid-19 yang melanda seluruh dunia sejak dua tahun lalu tidak terhad dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), masalah tekanan hidup, isu pengurusan kesihatan dan kematian semata-mata.
Ekoran PKP yang dikuatkuasakan bagi mengekang penularan pandemik, ramai rakyat kehilangan sumber pendapatan serta menghadapi pergerakan terbatas untuk berjumpa orang tersayang.
Mereka juga tidak dapat menyelesaikan segala urusan penting bagi keperluan peribadi, keluarga dan organisasi.
Akibatnya, timbul pelbagai isu dan permasalahan seperti pergaduhan rumah tangga, perceraian, penderaan, penipuan wang atau money scam, kemelesetan ekonomi, kehilangan pekerjaan, masalah mental seperti stres, depresi dan juga bunuh diri.
Dalam erti kata lain, tekanan hidup yang dialami oleh masyarakat dunia hari ini turut membawa kepada peningkatan kes bunuh diri.
Suatu fakta yang perlu difahami di sini, kes bunuh diri bukan lagi menjadi masalah setempat atau negara kerana ia sudah menjadi masalah global.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), terdapat lebih daripada 700,000 orang meninggal dunia kerana bunuh diri setiap tahun yang mana setiap 40 saat akan ada satu nyawa melayang.
Bunuh diri adalah satu fenomena global dan berlaku kepada semua peringkat kehidupan.
Menurut Polis Diraja Malaysia (PDRM), di negara ini, sebanyak 1,738 kes bunuh diri dicatatkan sejak 2019 hingga Mei lalu.
Jumlah ini melibatkan 609 kes untuk tahun 2019, 631 kes pada tahun 2020, dan 498 pada Januari hingga Mei 2021.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan, cara membunuh diri yang kerap digunakan adalah menggantung diri (75.1 peratus), terjun bangunan (13.6 peratus) dan meminum racun (5.7 peratus).
Jelasnya, siasatan mendapati, tiga punca yang menyebabkan kejadian bunuh diri tersebut antaranya berpunca daripada masalah keluarga, kewangan dan tekanan perasaan.
Dalam ajaran Islam, membunuh diri adalah termasuk dalam dosa-dosa besar yang dimurkai oleh Allah SWT.
Bunuh diri adalah haram dalam Islam berdasarkan nas-nas syarak seperti yang ditemui dalam al-Quran, al-Sunnah dan ijmak para ulama.

Menurut Imam Bukhari, Rasulullah bersabda: “Ada seseorang antara umat sebelum kamu menderita luka-luka, tetapi ia tidak sabar, lalu dia mengambil sebilah pisau, kemudian memotong tangannya yang mengakibatkan darah mengalir tidak berhenti hingga akhirnya dia meninggal dunia.
Lalu Allah berfirman: “Hamba-Ku mendahului Aku dengan membunuh dirinya, maka Aku haramkan baginya syurga.”
Almarhum Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sha’rawi pernah berkata dalam salah sebuah kitabnya: “Orang yang membunuh dirinya dihukum kekal di neraka. Mengapa? Hal ini kerana, manusia tidak dapat menciptakan dirinya sendiri, maka mengapa dia membunuh dirinya? Allah yang menciptanya dan roh serta hidup manusia adalah milik Allah.
“Jika manusia membunuh diri, bererti dia menghancurkan atau merosakkan sesuatu yang bukan miliknya. Dalam undang-undang Islam, orang yang membunuh orang lain dengan tidak sengaja diwajibkan membayar diyat (denda). Adapun orang yang membunuh orang lain dengan sengaja, maka dia berhak mendapatkan balasan (qisas).”
Pelbagai kajian akademik telah dijalankan dalam menganalisis dan meneliti punca serta kaedah dalam menangani masalah bunuh diri ini.
Secara ringkas, kesemua ahli masyarakat perlu mengetahui dan memahami empat perkara berikut:
Pertama, bunuh diri adalah suatu fakta kehidupan dan perlu diminimumkan.
Keduanya, bunuh diri mempunyai pelbagai punca penyebabnya.
Ketiga, kebanyakan orang yang membunuh diri sebenarnya boleh membuat keputusan sebaliknya.
Keempat pula, perbincangan dan kefahaman masyarakat awam dalam masalah ini sangat diperlukan untuk mengelakkannya daripada terus meningkat.
Dunia hari ini perlukan panduan dan penghayatan yang baik dalam menguruskan ketenangan dan kemarahan dalam kehidupan.
Majoriti masyarakat selama ini hanya dididik untuk mengurus dan mencapai kejayaan dalam hidup, namun jarang sekali dilatih untuk menguruskan kegagalan dan kekecewaan dialami.
Perkara ini menuntut agar semua anggota masyarakat untuk sentiasa menyeimbangkan tuntutan-tuntutan penting dalam kehidupan seperti ibadat, kesihatan, makanan, pakaian, pendidikan, perlindungan dan lain-lain lagi.
Panduan-panduan ini sebenarnya ada dalam ilmu tasawuf dan akhlak Islam.
Islam mengajar umat manusia bukan sahaja untuk mengecap kemajuan dan kebahagiaan dalam kehidupan di dunia, malah mencapai kejayaan gemilang di akhirat.
Seorang Muslim yang baik akan dapat menyeimbangkan pemikiran, kata-kata dan tindakannya dalam menghadapi setiap cabaran yang dihadapi dalam kehidupan.
Moga Allah SWT pelihara dan lindungi kita semua.
——————————————————————————-Dr. Wan Mohd. Fazrul Azdi bin Wan Razali ialah Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa), Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.














