fbpx

Mohd. Norazlan dilantik TKP (Pencegahan) SPRM baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Norazlan (kanan) dan Shamshun Baharin dalam Majlis Paluan Berundur yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Ibu Pejabat SPRM, semalam.

PUTRAJAYA – Pengarah Kanan Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Norazlan Mohd. Razali dilantik sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM baharu berkuat kuasa hari ini, menggantikan Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd. Jamil yang bersara wajib.

SPRM dalam kenyataan akhbar memaklumkan, Norazlan, 57, sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi, Pengarah SPRM Selangor, Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Ketua Staf Pejabat Eksekutif Ketua Pesuruhjaya SPRM, Ketua Unit Integriti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Pengarah SPRM Johor.

Beliau berkelulusan Bachelor of Science in Business Control System, pengkhususan dalam bidang perakaunan dari University of North Texas, Amerika Syarikat dan Master of Science in Economic Crime Management (Kepujian) dari HELP University, Malaysia.

“Beliau mula menyertai SPRM pada 9 Februari 1989 dan sepanjang tempoh perkhidmatan, beliau berpengalaman luas serta banyak terlibat dalam pelbagai inisiatif pencegahan rasuah di dalam dan luar negara,” katanya di sini hari ini.

Dalam masa sama, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas, Datuk Hishamuddin Hashim pula dilantik sebagai Pengarah Kanan Siasatan SPRM baharu berkuat kuasa hari ini.

Berikutan itu, jawatan beliau kini disandang oleh Ketua Unit Integriti Kementerian Pengangkutan, Datuk Tan Kang Sai yang menggantikan tempat Hishamuddin.

Sementara itu, SPRM menganjurkan Majlis Paluan Berundur sempena persaraan Shamshun Baharin di Ibu Pejabat SPRM semalam, dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara.

Beliau bersara wajib sebagai penjawat awam pada usia 60 tahun selepas berkhidmat di Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan SPRM selama 37 tahun sejak tahun 1984. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI