fbpx

Kakitangan JKM Kuala Krai maut kemalangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kereta dipandu mangsa yang terbabas selepas bertembung sebuah lori di Kilometer 38, Jalan Kota Bharu - Kuala Krai dekat Machang hari ini.

MACHANG – Seorang kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 38, Jalan Kota Bharu – Kuala Krai berhampiran sebuah kedai perabot di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 2 petang itu, mangsa, Che Khairul Azwan Che Ab. Rahman, 34, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada beberapa bahagian anggota badan.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Suprintendan Ganti Jimmy berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang bertugas di JKM Kuala Krai sedang dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Krai dengan memandu sebuah kereta jenis Proton Satria Neo.

Menurutnya, apabila tiba di lokasi kejadian, sebuah lori perabot dari arah bertentangan dipercayai telah berhenti di tengah jalan dan cuba membelok ke kanan jalan untuk masuk ke simpang sebuah kedai perabot.

“Bagaimanapun, sebuah lagi lori yang datang dari arah sama dengan lori perabot itu telah merempuh bahagian belakang kenderaan berat tersebut.

“Insiden itu menyebabkan lori perabot itu terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta yang dipandu mangsa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Ganti, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala dua pemandu lori berusia 27 dan 53 tahun mengalami kecederaan telah dihantar ke Hospital Machang untuk menerima rawatan.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke hospital sama untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI