fbpx

Minda orang muda ‘dijajah’ budaya asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
MOHAMMAD SHAHEMY AZMI,
WARTAWAN EKSEKUTIF

RATUSAN tahun lalu, negara pernah dijajah oleh beberapa kuasa asing seperti Portugis, Belanda, British dan Jepun.

Banyak pertumpahan darah yang berlaku sekali gus menjadi saksi penderitaan rakyat sepanjang penjajahan.

Ketika itu, rakyat terpaksa akur dan tunduk dengan perintah penjajah dan jika enggan, nyawa pasti akan melayang.

Cukuplah zaman ‘gelap’ itu berlalu dan menjadi sejarah untuk mendidik anak bangsa hari ini supaya tidak lagi dijajah sehinggakan kehidupan dan maruah kita ketika itu diinjak-injak.

Pada hari ini, Malaysia sudah pun mencapai kemerdekaan dan menjadi sebuah negara berdaulat dan unggul di persada dunia dengan pelbagai kemampuan bertaraf antarabangsa.

Secara realitinya, benar Malaysia sudah pun bebas daripada penaklukan kuasa asing yang digelar penjajah setelah mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Namun dalam diam dan tanpa kita sedar, masyarakat khususnya orang muda berada dalam bahaya akibat dijajah melalui kawalan minda.

Jika diperhalusi, merdeka bukan sekadar bebas daripada penjajahan semata-mata.

Umumnya, kita dapat lihat banyak negara yang mencapai kemerdekaan secara fizikal, tetapi mentaliti dan gaya hidup masih dijajah.

Kepesatan teknologi hari ini memudahkan ancaman penjajahan dalam bentuk baharu, terutama pemikiran dan budaya.

Menurut pensyarah Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Dr. Haslina Muhamad berkata, generasi muda terutamanya memang banyak menghabiskan masa dengan gajet dan juga internet.

Maka, kemungkinan besar minda mereka akan dijajah anasir luar sehingga mempengaruhi gaya hidup dan pemikiran.

“Sekarang ini saya lihat trend anak muda sangat meminati budaya masyarakat Korea tidak kira sama ada gaya hidup, pakaian, makanan dan bahasa.

“Tingkah laku mereka juga sudah ke arah itu (budaya Korea). Jadi ini yang dimaksudkan dengan penjajahan minda,” katanya.

Secara peribadi, Haslina melihat isu ‘penjajahan minda’ generasi hari ini secara halus menerusi media arus perdana atau media sosial adalah sesuatu yang membimbangkan.

“Amalan nilai-nilai norma yang diamalkan oleh masyarakat sebelum ini semakin dilupakan.

“Bahkan ada segelintir anak-anak muda hari ini tidak tahu susur galur mereka sebagai orang Malaysia. Kalau bercakap dalam konteks merdeka, dikhuatiri anak muda ini tidak tahu langsung budaya yang menggambarkan mereka sebagai seorang warganegara Malaysia,” katanya.

Memetik kata-kata pendeta Za’ba, beliau mencirikan konsep merdeka sebagai berubah daripada segala perbuatan dan kepercayaan yang bodoh, mematikan akal dan menyekat kemajuan kepada perbuatan dan kepercayaan yang cerdik, membebaskan fikiran dan menggalakkan kemajuan.

“Kemerdekaan sebenar adalah kemerdekaan jiwa dan minda yang dipupuk menerusi pembinaan jati diri yang dibentuk empat aspek utama iaitu agama, akhlak, pendidikan dan bahasa.

“Antara keempat-keempat ini, sudah pasti agama signifikan kerana dengan agama sahaja jiwa manusia akan mencapai kemerdekaan sebenar,” jelasnya.

Sebenarnya tidak salah untuk generasi muda membuka minda mereka dengan mempelajari budaya atau bahasa asing, namun usahlah terlalu obses dan terpengaruh. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI