fbpx

Yuna kembali ke AS, sambung bikin album

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YUNA

SEPERTI kebanyakan penyanyi baik dalam atau luar negara, Yuna atau nama lengkapnya, Yunalis Mat Zara’ai turut terkesan dengan pandemik Covid-19 yang merencatkan seluruh dunia.

Lebih setahun lalu, mulanya hasrat Yuna kembali ke Malaysia hanya untuk beberapa minggu demi menjenguk keluarga, namun pejam celik ditambah dengan situasi Covid-19 yang turun naik, memaksa dirinya berdiam lebih lama di tanah air tidak seperti selalu.

Di Malaysia, pelantun lagu Yang Sebenarnya itu tidak hanya berpeluk tubuh, dia sempat melancarkan beberapa buah tangan berbentuk muzik termasuk single berjudul Stay Where You Are dan terbaharu, Don’t Blame It On Love.

Kolaborasi Frank Ocean

Ujar Yuna, dia juga bakal berkolaborasi dengan seorang produser berbangsa Melayu yang pernah menjayakan album artis antarabangsa popular, Franck Ocean.

“Untuk album terbaharu, tidak banyak yang boleh saya bongkarkan tetapi apa yang boleh dikongsikan, saya akan bekerja dengan seorang produser bernama Malay atau nama sebenarnya, James Ryan Ho yang pernah membantu Frank Ocean menerbitkan album Channel Orange.

“Album tersebut merupakan antara album terbaik yang pernah dilahirkan dan saya merupakan peminat tegar album Channel Orange.

“Sebenarnya, sudah lama saya menyimpan hasrat untuk bekerja dengan Malay. Sejak 2012 dan sekarang impian itu menjadi kenyataan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Kosmo! baru-baru ini.

Ditanya tentang perancangannya selepas ini, sama ada di Malaysia dan di peringkat antarabangsa, Yuna yang telah berlepas ke Amerika Syarikat (AS), Rabu lalu berkata:

“Saya pulang ke Los Angeles, AS untuk menyambung kerja-kerja pembikinan album di sana.

“Saya sangat berharap dapat berkongsi album terbaharu ini dengan peminat pada hujung tahun.

“Dalam pada itu, saya akan berulang-alik ke Malaysia untuk tengok keadaan keluarga tersayang pada waktu pandemik sekarang ini,” tutur Yuna.

Sebelum pulang ke AS, penyanyi lagu Crush itu juga sempat berkongsi usaha kecil bagi membantu peniaga tempatan menjana pendapatan ketika berdepan cabaran era pandemik Covid-19.

Cakna akan realiti ramai peniaga terjejas dan hilang punca pendapatan ketika virus maut itu menyerang seluruh dunia, dia bekerjasama dengan syarikat dagangan digital dan teknologi kewangan, myIOU untuk memberi sokongan kepada jenama tempatan kecil atau besar.

Yuna sebagai wajah rasmi myIOU berkata, dia amat menyokong perniagaan anak tempatan.

“Sudah lama saya berhasrat memainkan peranan lebih besar bagi membantu peniaga tempatan.

“MyIOU adalah servis kewangan baharu yang menawarkan perkhidmatan Beli Sekarang Bayar Kemudian atau Buy Now Pay Later (BNPL), bersesuaian bagi peniaga dalam talian dengan adanya pilihan pembayaran fleksibel.

“Saya mahu lihat anak tempatan mengambil peluang keemasan ini dengan menggunakan kemudahan perniagaan dalam talian.

“Sedikit sebanyak dapat membantu lebih ramai peniaga dalam talian untuk mengembangkan perniagaan, sekali gus menjana pendapatan dalam era pandemik ini,” katanya.

Bantu peniaga tempatan

Akui Yuna, dia juga merupakan peminat jenama tempatan.

“Bagi saya, kerjasama dengan syarikat dagangan digital ini tiba pada masa yang tepat. Ini kerana saya sedang mencari peluang membantu peniaga demi kelangsungan hidup,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Komersial Rantau myIOU, Christopher Kok berkata, Yuna dipilih bukan disebabkan statusnya bertaraf penyanyi antarabangsa, sebaliknya kemampuannya mengeratkan jurang antara peniaga tempatan dan pelanggan demi survival dalam mengembangkan perniagaan pada era pandemik.

“Yuna bukan sahaja mempunyai jumlah pengikut yang ramai dalam media sosial, malah pernah bekerjasama dengan beberapa jenama besar.

“Kesinambungan kerjaya muzik Yuna juga dilihat meliputi hingga ke seluruh Asia Tenggara.

“Kerjasama ini menggalakkan rakyat Malaysia menggunakan peluang perkhidmatan BNPL sebagai satu kaedah pembayaran pembelian alaf baharu, di samping mempromosikan manfaat kepada umum.

“Konsep ini bersesuaian kerana nilainya selari dengan matlamat untuk menjadi pemain utama dalam industri transaksi kewangan digital di rantau Asia Tenggara,” katanya.

Pihaknya mahu mencari peniaga yang mempunyai misi dan visi sama sebagai pemain utama industri perkhidmatan BNPL.

“Kehadiran Yuna pastinya membantu kami memperkenalkan perkhidmatan dan kemudahan pembayaran yang disediakan kepada peniaga di rantau ini.

“Melalui kerjasama ini, Yuna akan mewakili kempen dan aktiviti promosi menerusi pelbagai platform,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI