fbpx

Sepakat selamatkan Keluarga Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan seluruh rakyat negara ini sebagai sebuah keluarga yang perlu mempunyai kesepakatan demi menyelamatkan satu sama lain dalam krisis Covid-19 dan ekonomi.

Ismail Sabri dalam ucapan sulung sebagai Perdana Menteri kesembilan berkata, beliau menggunakan pendekatan Ke­luarga Malaysia kerana bersifat le­bih inklusif merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum.

“Kita menyedari kewujudan sesebuah keluarga yang berkahwin dengan pelbagai bangsa dan agama tetapi nilai kekeluargaan mengikat mereka semua.

“Sebab itu, konsep Keluarga Malaysia diambil kerana bagi saya keutuhan negara terikat dengan nilai-nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga,” katanya semasa berucap semalam.

Dilahirkan dan membesar sebagai anak petani yang susah, Ismail Sabri memberitahu, beliau memahami keringat dan nilai se­suap nasi serta keperitan hidup rakyat pada masa negara sedang menghadapi krisis ekonomi yang berpunca daripada Covid-19.

Pekerja kedai elektrik mendengar ucapan sulung Ismail Sabri selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-9
di Kuala Lumpur semalam. – FARIZ RUSADIO

“Saya menginsafi kepayahan, kesengsaraan dan keperitan hidup yang mencengkam kita semua. Ada yang hilang mata pencarian, putus bekalan makanan dan bukan sedikit yang dibuang kerja,” katanya.

Sehubungan itu, kerajaan akan me­numpukan usaha mencapai dua objektif utama iaitu mengembalikan kesejahteraan rakyat se­i­ri­ng dengan usaha meningkatkan kuasa beli pengguna serta me­ngangkat semula sektor swasta sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara.

“Fokus kita adalah rakyat yang hilang kerja dan mata penca­rian, berpendapatan sederhana, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan sektor industri terma­suk pelancongan domestik,” jelasnya.

Perdana Menteri memberi jaminan bahawa tiada rakyat di negara ini tanpa mengira agama, bangsa dan kaum yang tercicir atau terpinggir dalam proses pemulihan semula negara.

Sementara itu, Ismail Sabri menjelaskan, strategi yang dirangka kerajaan sebelum ini dalam aspek pengurusan pandemik akan diterus dan diperkasakan serta ditambah baik dengan mengambil kira pandangan pakar-pakar kesihatan awam.

Kerajaan juga akan terus memperhebatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dengan membuat pembelian tambahan enam juta dos vaksin yang dijangka tiba awal September ini.

Beliau juga mahu semua pihak meleraikan segala perebutan kuasa politik dan bersama-sama berjuang sebagai sebuah ke­luarga besar dalam memperbaiki, merawat serta memulihkan semula tanah air ini.

Pada masa sama, beliau turut menawarkan ruang kepada pihak pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara dan Jawatankuasa Khas Mena­ngani Covid-19.

“Saya berikrar buat yang terbaik demi membuktikan kepercayaan rakyat kepada pasukan saya tidak dipersiakan,” katanya. -K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI