fbpx

Perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan’ dibatalkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Perhimpunan aman ‘Keluar dan #Lawan’ yang dirancang berlangsung hari ini di sekitar ibu negara telah dibatalkan.

Perkara tersebut dimaklumkan Sekretariat Solidariti Rakyat(SSR) dalam satu kenyataan di sini semalam.

“Pihak Sekretariat Solidariti Rakyat telah bermesyuarat bersama Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya bagi membincangkan mengenai himpunan aman ‘Keluar dan #Lawan’.

“Menerusi perbincangan tersebut, SSR telah menyerahkan notis pembatalan protes yang dirancang berlangsung pada hari ini kepada Ketua Polis Daerah Dang Wangi,” katanya di sini semalam.

Tambah kenyataan tersebut, SSR turut memandang serius terhadap tindakan pihak polis memohon perintah mahkamah untuk melarang 34 orang aktivis masuk ke beberapa kawasan dalam ibu negara.

“Kami beranggapan bahawa tindakan ini adalah berlebihan dan melampau. Ini adalah kerana ianya dijalankan tidak mengikut lunas yang betul.

“Kami harus berkongsi maklumat peribadi seperti nama penuh dan kad pengenalan di laman media sosial dan hadir ke rumah para aktivis tanpa notis serta pada waktu malam melibatkan bilangan anggota yang ramai,” jelasnya.

SSR turut beranggapan tindakan ini adalah untuk menggertak para aktivis daripada menjalankan tanggungjawab dan hak demokratik mereka. Walaupun telah memberikan notis kepada pihak polis bahawa perhimpunan tersebut telah dibatalkan.

“Kami ingin menegaskan bahawa segala aksi protes yang kami akan buat akan diuar-uarkan secara rasmi dan dibuat secara tertib berdasarkan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

“Kami tidak buat sesuatu perkara secara semberono dan acuh tidak acuh kerana setiap protes kami adalah untuk menggemakan suara dan tuntutan rakyat,” ujar kenyataan tersebut.

Kosmo! semalam melaporkan, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengeluarkan perintah larangan sebarang perarakan dari Kompleks Sogo dan Masjid Jamek (termasuk kawasan sekitar dalam radius satu kilometer) serta perhimpunan di Dataran Merdeka di sini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, polis menerima maklumat pihak tertentu mengambil peluang mengadakan perhimpunan dan perarakan pada masa ini yang jelas melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) walaupun mendakwa sudah membuat permohonan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012. – K! ONLINE.

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI