GAYA berfesyen golongan lelaki pada masa kini lebih terbuka dan versatil tanpa diikat dengan mana-mana peraturan seperti era terdahulu.
Jika dahulu, imej lelaki berkemeja dan tali leher dikatakan golongan profesional dan korporat, manakala jean dan kemeja-T dikelaskan untuk anak muda serta remaja sahaja.
Tetapi pada masa sekarang, mereka boleh menggayakan apa jua pakaian yang diingini. Jika lelaki memilih untuk memakai sut, itu adalah kerana kehendak mereka sendiri.
Tiada siapa yang memandang serong jika fesyen yang dipakai tampak ganjil suatu ketika dahulu. Itulah perubahan fesyen yang sentiasa bergerak seiring peredaran masa.
———————————————————————————————————————————————————————————————————————–
Oleh FAIZAL HAMID
SAMA ada kita akui atau tidak, pakaian lelaki moden atau kontemporari adalah salah satu cara ekspresi komunikasi individualiti.
Perubahan gaya dan sikap pengguna lelaki telah mendorong mereka untuk mengambil langkah bagi mengelak daripada gaya yang terlalu selaras atau mengikut peraturan.
Mematuhi manual undang-undang gaya sepenuhnya bukanlah kaedah untuk tampil bergaya.
Pakaian kontemporari bagi lelaki menyediakan kaum Adam peluang untuk menyerahkan individualiti dan ia kini menjadi suatu kemewahan paling berharga yang boleh dimiliki oleh semua orang.
Pada era ini, rekaan pakaian kontemporari lelaki adalah lebih mencabar, pelbagai dan membuatkan pemakainya lebih teruja.
Dahulu, imej lelaki berkemeja dan tali leher adalah mewakili golongan profesional dan korporat, manakala jean dan kemeja-T mewakili golongan muda serta remaja.
Tetapi kini, sesiapa pun boleh memakai apa jua pakaian yang mereka inginkan. Jika lelaki memilih untuk memakai sut, itu adalah kerana kehendak mereka sendiri.
Begitu juga jika mereka memilih untuk memakai kasut sneaker dengan sut, tiada siapa yang boleh menghalangnya kerana itu adalah merupakan pilihan individu.
Kita dapat lihat di sekeliling, lelaki berpakaian dengan gaya individu tersendiri dan mereka mahukan gabungan pilihan pakaian yang dapat menyerlahkan lagi gaya, identiti dan keperibadian mereka.
Pilihan pakaian yang ada di pasaran adalah cukup besar serta tiada batasan dari segi bentuk, gaya dan warna.
1. Lihat gaya menyeluruh
Perlu diingat, apabila menggayakan sesuatu pakaian berserta padanannya sekali, pastikan anda melihat ia secara keseluruhan.
Padanan pakaian dan aksesori anda mungkin berkualiti daripada jenama hebat, tetapi paling penting adakah ia sesuai dipadankan di antara satu sama lain?
Berpakaian penuh gaya dapat dicapai jika kita tahu menata rias secara keseluruhan.
Untuk miliki keterampilan yang hebat tidak memerlukan anda sentiasa bergaya mewah dengan pakaian mahal dan berjenama, paling penting mempunyai cita rasa dalam memilih sesuatu pakaian.
Utamakan mutu, pilihan potongan ringkas dan elemen perincian yang berseni dan klasik. Mahal atau murah adalah sesuatu yang subjektif.
2. Pakaian selesa dan menarik
Bagi anda di luar sana, tidak perlu keliru apabila memperkatakan tentang aliran fesyen terkini.
Lelaki perlu bijak mengambil inisiatif untuk bereksperimentasi.
Antaranya, dengan memadankan pilihan rekaan pakaian dan aksesori yang selesa serta menarik pandangan mereka yang melihat.

3. Bijak bereksperimentasi
Pilihlah rekaan yang sesuai dengan budaya kita selagi tidak keterlaluan. Kita boleh mengambil inspirasi daripada gaya, rekaan atau apa sahaja yang dipaparkan di dalam majalah-majalah tetapi perlu disesuaikan dengan keadaan diri sendiri.
Potongan badan, ketinggian serta warna kulit perlu diambil kira. Apa yang penting, anda bijak bereksperimentasi.
4. Imej sempurna
Sememangnya lelaki kini tidak mahu lagi menjadi kumpulan jantina yang kurang menarik.
Mereka ingin menghias diri seperti merak jantan lengkap dengan pembentukan imej yang lebih sempurna dan berketerampilan dalam usaha untuk lebih berkeyakinan dan kelihatan hebat dipandang majikan, teman sekerja dan tentunya, teman wanita atau isteri.
5. Personaliti menerusi pakaian
Gaya lelaki kontemporari bukan hanya bergaya head to toe dengan fesyen berjenama, tetapi ia lebih kepada cara kita menyerlahkan ekspresi diri atau personaliti melalui pakaian yang digayakan.
Selain itu, kita juga perlu mengetahui rekaan apa yang paling sesuai serta kebijaksanaan menyuai padan pakaian dan aksesori dengan cara yang sofistikated.
Perlu diingat yang paling utama, kita bergaya adalah untuk kepuasan serta sebagai ekspresi diri sendiri bukan untuk orang lain.
FAIZAL HAMID ialah Pensyarah Kanan Jabatan Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka,
Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor.














