fbpx

Harga 20 sen sekilogram, petani musnahkan 6,400 pokok timun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zulkarnain bertindak memusnahkan 6,400 pokok timun ditanamnya akibat kejatuhan harga yang mendadak.

KUANTAN – Akibat kejatuhan mendadak harga timun kepada hanya 20 sen sekilogram membuatkan seorang petani bertindak nekad memusnahkan kira-kira 6,400 pokok timun yang ditanamnya di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Inderapura Jalan Kuantan-Pekan di sini.

Zulkarnain Abdul Razak, 48, berkata, dia tiada pilihan lain selain memusnahkan kesemua pokok timun berkenaan daripada terus menanggung kerugian akibat kejatuhan harga.

“Saya lebih rela musnahkan 6,400 pokok timun yang sedang berbuah daripada terus menanggung kerugian yang lebih teruk kerana dengan harga ladang cuma 20 sen sekilogram mustahil untuk saya dapat mempertahankan pokok timun yang masih mengeluarkan hasil.

“Sepatutnya pokok timun ini boleh bertahan sekurang-kurangnya tiga minggu lagi dan mampu memberi pulangan hasil antara RM7,000 hingga RM9,000 sekiranya harga paling rendah RM1 sekilogram namun berlaku sebaliknya,” katanya di sini hari ini.

Faktor utama kejatuhan harga timun ialah berikutan PKP 3.0 yang agak panjang menyebabkan banyak pasar borong, pekan sehari dan pasar pagi ditutup.

Menurutnya, sejak empat tahun mengusahakan tanaman timun kaedah fartigasi, ini kali pertama harganya jatuh terlalu rendah sehingga 20 sen sekilogram.

Katanya, dia hanya sempat menjual beberapa tan sahaja buah timun sebelum mengambil keputusan nekad memusnahkan semua 6,400 pokok yang sedang berbuah dengan cara memberhentikan bekalan air siraman.

“Saya lebih rela menanggung kerugian lebih RM5,000 modal pusingan menyediakan benih dan baja termasuk upah pekerja kerana mustahil untuk mengekalkan tanaman berkenaan sedangkan kos baja sehari hampir RM100,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, faktor utama kejatuhan harga timun ialah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang agak panjang menyebabkan banyak pasar borong, pekan sehari dan pasar pagi ditutup.

Sementara itu, rakanya, Che Osman Senik, 58, berkata sebelum ini dia terpaksa membuang lebih 10 tan buah timun disebabkan tiada permintaan daripada pemborong khususnya di Pasar Borong Selayang, Selangor.

“Terdapat lebih 12 pekebun di TKPM Inderapura yang mengusahakan tanaman timun dan semua menanggung kerugian hingga terpaksa bertindak memusnahkan pokok sebelum tiba masanya.

“Kejatuhan harga yang teruk bukan sahaja berlaku pada timun tetapi membabitkan pelbagai sayur lain, hari ini saya juga terpaksa bertindak memusnahkan 6,400 pokok peria kerana harganya jatuh 50 sen sekilogram,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI