fbpx

Tangkap petani jika buat pembakaran terbuka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kebakaran terbuka yang berlaku di kawasan Revolusi Hijau, Johan Setia, Klang baru-baru ini

SHAH ALAM – Para petani atau penceroboh yang melakukan pembakaran terbuka di kawasan Revolusi Hijau, Johan Setia, Klang dekat sini akan ditangkap pihak berkuasa.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Selangor, Hee Loy Sian berkata, tindakan tegas itu hasil mesyuarat Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar yang dihadiri pelbagai agensi bagi menangani masalah pembakaran terbuka di kawasan tersebut ketika negara mengalami cuaca panas dan kering ketika ini.

Katanya, terdapat beberapa insiden kebakaran belukar di lokaliti itu sehingga menyebabkan kemerosotan kualiti udara dan jerebu setempat di kawasan sekitar daripada 18 hingga 29 Julai lalu.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) diminta untuk membantu melaksanakan tangkapan dan rondaan di kawasan Johan Setia bagi menimbulkan “Perception of Being Caught (POBC)” dalam kalangan petani supaya tidak melakukan pembakaran terbuka.

“Mesyuarat juga bersetuju supaya Operasi Bersepadu Membanteras Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Johan Setia dilaksanakan secara berkala dan tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang tidak bertanggung jawab menyebabkan pembakaran terbuka termasuk pemilik tanah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Loy Sian memberitahu, program pemutihan melalui proses bancian juga dilaksanakan Pejabat Tanah Daerah Klang dengan para petani akan dibantu mendapatkan lesen penduddukn sementara (LPS) daripada kerajaan negeri.

Ujarnya, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) juga akan sama melakukan pemantauan harian dan melaporkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

“Jabatan Alam Sekitar (JAS) pula akan menggunakan teknologi dron thermal bagi mengesan pembakaran terbuka pada waktu malam. Bagi memantapkan pelaksanaan itu, Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor akan menyediakan kertas cadangan bagi pembinaan menara tinjau bagi mengesan pembakaran terbuka di Johan Setia.

“Dalam mencapai pembakaran sifar, Jabatan Pertanian akan melaksanakan program pengurusan tanah lestari kepada petani-petani yang berdaftar di bawah Jabatan Pertanian,” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan kebakaran belukar dan longgokan sampah sarap di bawah rentis Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Jalan 8, Kampung Johan Setia di sini mengakibatkan bacaan Indeks Indeks Pencemaran Udara (IPU) naik mendadak dari paras 152 kepada 191 di kawasan tersebut.

Kebakaran melibatkan keluasan 0.1 hektar adalah kali kedua terjadi dalam tempoh seminggu dengan kali pertama melibatkan keluasan 1.2 hektar. -K!ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI