fbpx

Azizulhasni khatam al-Quran di Tokyo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZIZULHASNI tekad memasang impian untuk membutirkan pingat emas Olimpik pertama buat negara pada Paris 2024.

JAGUH berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang mendedahkan bahawa mendengar lantunan ayat al-Quran dan khatam sehari sebelum mengharungi acara keirin pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 memberi ketenangan kepadanya untuk menghadapi perlumbaan tersebut.

Menurut pemenang pingat perak Olimpik dalam acara keirin pada Tokyo 2020, menyertai kejohanan besar seperti itu bukan satu tugas mudah, lebih-lebih lagi terpaksa menghadapi tekanan yang berat. 

Justeru , al-Quran menjadi pendamping kepadanya selain mampu melupakan seketika kepenatan latihan, tekanan dan juga segala macam masalah-masalah duniawi yang berada dalam fikirannya.

“Tidak kira kecil atau besar sesebuah kejohanan itu tetapi apabila kita menggalas sebuah harapan besar yang diberikan, ia umpama ada suatu bebanan di atas kepala serta seluruh badan kita yang kita bawa kemana-mana.

“Ada yang tanya apakah rahsia saya kekal tenang menghadapi situasi-situasi yang ekstrim itu? Jawapan saya adalah al-Quran. Ketika kem latihan di Nilai, saya sudah mulakan misi membaca al-Quran untuk khatam sebelum pertandingan. 

“Tapi maklumlah, latihan sangat teruk waktu itu ditambah dengan kesibukan pelbagai aktiviti bersama dengan pasukan membuatkan kuantiti bacaan agak perlahan. Tetapi selepas tamat saja kem latihan dan terbang ke Tokyo, ia memberikan saya lebih banyak ruang untuk memberikan tumpuan kepada bacaan,” katanya dalam muat status di laman Facebook miliknya semalam.

Azizulhasni mendedahkan dia tidak mensia-siakan waktu yang ada sebaliknya menghabiskan separuh perjalanan ke Tokyo dengan bacaan ayat al-Quran.

“Menteri Belia dan Sukan iaitu Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang ketika itu ternampak dan mengetahui misi tersebut memberikan kata-kata semangat dan juga beberapa tips kerohanian. 

“Tenang, bukan mudah untuk tenang apabila kejohanan terbesar dalam karier kita hanya ada beberapa hari saja lagi. Tapi sumpah tidak tipu, memang dengan bacaan al-Quran ini membuatkan pemikiran dan jiwa saya tidak bergelora.

“Syukur, kepada Allah SWT, saya dapat khatam bacaan pada hari Jumaat, sehari sebelum saya memulakan perlumbaan acara Keirin. Sejurus selepas khatam, saya terus bernazar kepada Allah SWT dan saya meletakkan segala perihal dan urusan perlumbaan saya kepadaNya kerana Dia lah Al-‘Alim, Allah yang Maha mengetahui segalanya,” tegasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI