fbpx

Hanya lapan pelanggan ‘dine-in’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shamsul Munir memastikan restorannya di Seberang Jaya sentiasa disanitasi bagi memastikan kebersihan.

GEORGE TOWN – Rata-rata individu yang telah melepasi 14 hari selepas melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 di negeri ini memilih untuk membungkus makanan berbanding ‘dine-in’ biarpun telah diberi kelonggaran.

Seorang pekerja swasta Hafiz, 36, yang telah melengkapkan dos vaksin berkenaan berkata, dia tetap memilih untuk tidak makan di kedai ketika ini.

“Jika tiada keperluan (dine-in), saya bungkus dan makan di rumah sahaja kerana kita belum ‘merdeka’ lagi daripada Covid-19, bahkan kes harian yang dicatatkan ketika ini masih tinggi.

“Saya telah lengkap dos pada beberapa minggu lalu dan telah layak makan di kedai, namun belum bersedia kerana risau kepada risiko,” katanya di sini hari ini.

Mengikut rekod Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), setakat 29 Julai lalu atau 14 hari lepas, sebanyak 20.9 peratus penduduk dewasa di Pulau Pinang telah melengkapkan dua dos vaksin yang sekaligus membolehkan mereka makan di kedai.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin Ahad lalu mengumumkan individu di negeri Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang telah menerima vaksinasi lengkap diberi kelonggaran ‘dine-in’ di restoran bermula Selasa.

Pekerja Restoran Nasi Kandar Hameediyah, Sungai Ara di George Town melakukan sanitasi premis sebelum membenarkan pelanggan ‘dine-in’.

Sementara itu, pengusaha restoran Lomaq Coffee di Seberang Jaya dekat sini, Shamsul Munir Safini, 37, berkata, biarpun telah melakukan persiapan rapi mengikut prosedur operasi standard (SOP), dia mendapati tidak ramai pelanggan memilih untuk makan di kedai.

“Hari pertama semalam hanya lapan orang yang dine-in, manakala kebanyakan pelanggan membawa pulang atau guna khidmat penghantaran.

“Saya jangka tidak ramai yang akan makan di kedai walaupun diberi kelonggaran atau mungkin akan sedikit ramai pada hujung minggu akan datang,” katanya.

Sementara itu, wakil pengurusan Restoran Nasi Kandar Hameediyah di sini, Muhamad Salim Ahamed Seeni Pakir berkata, pihaknya tetap memberi tumpuan kepada perkhidmatan penghantaran dan bawa balik makanan. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI