fbpx
gambar hiasan

Permintaan kit ujian kendiri meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN – Kit ujian kendiri Covid-19 kini semakin mendapat permintaan tinggi daripada masyarakat dan dianggap sebagai barang penting bagi setiap keluarga.

Tinjauan Kosmo! mendapati kebanyakan farmasi di daerah ini menjual kit ujian kendiri itu pada harga antara RM35 hingga RM39.90 di pasaran dan stok bekalan juga amat terhad.

Seorang peniaga, Amiratul Nadiah Razarudin, 33, berkata, permintaan terhadap kit terbabit meningkat kerana tidak ramai yang mampu membuat ujian calitan Covid-19 di klinik swasta.

“Selain itu, jika berada di tempat sesak atau berasa risau dijangkiti Covid-19, kita boleh me­lakukan sendiri ujian dengan kit kendiri ini.

“Saya sendiri menjalankan perniagaan jualan kek dan me­lakukan penghantaran terus kepada pelanggan, bagi saya kit ujian kendiri Covid-19 wajib ada bagi setiap keluarga sebagai salah satu langkah pencegahan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Amiratul Nadiah yang juga mempunyai seorang anak kecil berkata, kit itu juga sebagai langkah awal mengelak diri dan keluarga daripada menjadi kontak rapat kepada orang lain jika di­sahkan positif Covid-19.

Bagi Perunding Insurans, Mohd. Fitry Kamalrudin, 35, pula, cadangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk menyenaraikan kit ujian kendiri itu dalam senarai bara­ngan harga kawalan perlu dilakukan segera.

“Barang ini sudah dianggap sebagai barang keperluan untuk setiap orang dalam berdepan pandemik Covid-19 dengan kes yang agak tinggi ketika ini,” katanya.

Sementara itu, seorang penghantar kurier, Abdullah Rifaie Naharudin, 27, berkata, pekerjaannya terdedah kepada risiko dijangkiti wabak maut itu kerana setiap hari berdepan dengan pelbagai jenis orang dan perlu menghantar barang pesanan

“Jika nak buat ujian calitan (sa­ringan) Covid-19 di klinik swasta agak mahal ada yang mengenakan caj RM150 ke atas dan ini agak membebankan bagi saya.

“Justeru, kit kendiri ujian Covid-19 ini amat membantu dan saya boleh membuat ujian sendiri di rumah walaupun kosnya lebih kurang RM39.90 setiap satu kotak,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dilaporkan berkata, sehingga kini hanya enam kit ujian kendiri Covid-19 diluluskan oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) untuk digunakan di negara ini.

Beliau dilaporkan berkata, kesemua kit yang diluluskan itu sudah melepasi ujian pres­tasi dan memenuhi keperluan ditetapkan sebelum diberikan kelulusan bersyarat untuk dibekalkan ke farmasi komuniti dan fasiliti kesihatan. -K! ONLINE

POPULAR