fbpx
AIN HANNANI tidak pernah lupakan pelajaran biarpun sibuk dengan aktiviti kokurikulum.

Ikon debat bahasa Arab USIM kalahkan wakil Arab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEORANG graduan USIM yang juga pendebat ikon institusi pendidikan tersebut, Nur Ain Hannani Hamid, 24, masih unggul dan tiada galang gantinya kerana cemerlang dalam pertandingan debat bahasa Arab.

Dia yang kini melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana dalam bidang Biological System Sciences di Prefectural University of Hiroshima, Jepun pernah membanggakan USIM selepas berjaya menewaskan wakil daripada negara Arab sendiri seperti Jordan dan Iraq.

Selain debat, dia yang lebih mesra disapa Ain Hannani juga aktif dalam kokurikulum lain, selain berjaya menerima Anugerah Dekan hampir setiap semester.

———————————————————————————————————————————————————————————————————————–

 

 

KESEIMBANGAN dari segi akademik dan aktiviti kokurikulum di samping memiliki sahsiah terpujimerupakan ciri-ciri mahasiswa ideal idaman semua.

Ia selari dengan moto Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) iaitu ‘Integrasi Naqli dan Aqli’.

Menerusi moto tersebut, USIM ingin melahirkan graduan seimbang daripada segenap aspek, malah mampu mengintegrasikan al-Quran dan sunnah dalam kehidupan seharian.

Salah seorang graduan unggul yang berjaya dilahirkan USIM ialah Nur Ain Hannani Hamid yang bukan sahaja berjaya dalam aspek akademik, malah kokurikulum dan bidang keagamaan.

Graduan Fakulti Sains dan Teknologi berusia berusia 24 tahun itu hebat dalam pertandingan debat bahasa Arab, kesukarelawan, selain bergelar hafizah al-Quran.

“Saya berjaya khatam dan menghafal 30 juzuk al-Quran pada usia 15 tahun. Ketika itu, saya bersekolah di Maahad Tahfiz Negeri Pahang (Kuantan),” katanya ketika ditemu bual iGen baru-baru ini.

Mengulas mengenai penglibatan dalam bidang pengucapan awam, gadis yang mesra disapa Ain Hannani itu memaklumkan, dia mula aktif sejak sekolah rendah sebelum diteruskan ke peringkat Ijazah Sarjana Muda.

Katanya, dia mencabar diri untuk menceburi dunia perdebatan bahasa Arab yang umumnya didominasi oleh pelajar jurusan Bahasa Arab serta Undang-Undang di USIM.

“Dahulu ketika di sekolah, saya sangat aktif dalam pidato, syarahan, bercerita, bersajak dan berpantun. Di USIM, saya mengubah angin dengan menyertai pasukan debat bahasa Arab.

“Kebetulan saya memiliki kelebihan berbahasa Arab dengan baik. Pada saya, bahasa Arab adalah kunci pengembangan ilmu serta dapat memudahkan saya memahami al-Quran dan hadis,” tegasnya.

KELANCARAN bertutur dalam bahasa Arab selain aksi bersahaja Ain Hannani ketika melontarkan buah fikiran, membolehkannya mencuri perhatian hakim dan peserta lain pada acara debat disertainya di dalam dan luar negara.

Berkat kegigihan dan bakat dimiliki, membolehkan anak kedua daripada lima beradik itu sering mencuri perhatian para hakim dan peserta lain pada pertandingan debat disertainya.

Justeru, tidak hairanlah sekiranya gadis manis itu sering menggondol anugerah pendebat terbaik pada pertandingan disertainya sama ada di dalam mahu pun luar negara.

Antara pertandingan debat dimenangi oleh Ain Hannani dan rakan sepasukannya adalah Qatar Foundation Asian Arabic Debate dengan menewaskan pasukan dari Iraq, Pakistan dan Lubnan.

“Setiap pertandingan disertai, saya sentiasa berusaha memberi yang terbaik sehingga berjaya dinobatkan sebagai pendebat terbaik keseluruhan sebanyak beberapa kali.

“Penglibatan aktif dalam debat juga membolehkan saya dan rakan sepasukan mendapat penghargaan khas daripada Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi pada Anugerah Tokoh Siswa Kebangsaan 2018,” katanya.

Pada masa sama, Ain Hannani turut aktif dalam misi kemanusiaan di Kemboja dan Surabaya, Indonesia melalui penyertaan dalam program Global Islamic Student Outreach.

Daripada aspek kepimpinan pula, beliau diberi kepercayaan memikul amanah selaku Timbalan Presiden Persatuan Pelajar Bioteknologi Makanan serta Exco Akademik Persatuan Pelajar pada 2018.

Tidak dinafikan bahawa mengimbangi akademik dan aktiviti kokurikulum bagi seorang mahasiswa sepanjang lima tahun di kampus bukanlah mudah.

Akuinya, dia menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran baik dari segi fizikal mahu pun emosi apabila terlalu aktif dalam kokurikulum.

“Berbekalkan semangat juang serta sokongan, bimbingan keluarga, pensyarah serta rakan, saya mampu mengharungi setiap cabaran.

“Saya sentiasa berusaha menguruskan masa sebaik mungkin, selain berdoa kepada Allah supaya memudahkan urusan setiap hari,” katanya.

Meskipun sibuk dengan aktiviti kokurikulum, namun Ain Hannani sama sekali tidak pernah meminggirkan perkara utama sebagai seorangmmahasiswa iaitu akademik.

Katanya, dia sentiasa mengutamakan pengajian sehingga berjaya menerima Anugerah Dekan hampir setiap semester, sekali gus membolehkannya bergraduasi dengan Kelas Pertama.

Kemuncak kejayaan sebagai mahasiswa USIM apabila Ain Hannani dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang) pada Majlis Konvokesyen Kali ke-18 USIM, April lalu.

Ain Hannani baru saja melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana dalam bidang Biological System Sciences di Prefectural University of Hiroshima, Jepun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN