fbpx

85 kes positif Covid-19 di Parlimen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Sebanyak 85 kes positif Covid-19 yang disahkan dengan ujian RT-PCR dilaporkan berkait dengan Sidang Mesyuarat Khas Parlimen yang diadakan pada 26 hingga 29 Julai lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, 56 kes daripadanya dikenal pasti hasil saringan Pra-Dewan Rakyat dan empat kes kontak rapat.

Beliau berkata, 17 kes dikesan berkaitan semasa persidangan Dewan Rakyat dengan sembilan kes sudah dilaporkan sebelum ini, lima kes baharu dilaporkan di antara 30 Julai sehingga 5 Ogos lalu, tiga kes kontak rapat dan lapan kes menerusi saringan Pra-Dewan Negara.

“Setakat ini, enam sampel yang berkemungkinan besar adalah varian Delta dikesan melalui saringan menggunakan ujian PCR Genotyping Assay.

“Bagi mengesahkan jenis varian ini, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) sedang menjalankan jujukan genom penuh dan masih menunggu keputusan akhir,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Beliau berkata, daripada lapan kes baharu yang dilaporkan di antara 30 Julai sehingga 5 Ogos lalu,  lima kes daripadanya mempunyai nilai kitaran ambang (CT value) RT PCR di antara 18.00 sehingga 27.68, dan tiga kes dengan CT value di antara 35.14 sehingga 37.59.

Katanya, empat kes mempunyai gejala ringan manakala yang lain tidak bergejala selain tujuh kes positif sudah mendapat vaksin Covid-19 (sekurang-kurangnya mendapat satu dos).

“Satu lagi kes adalah kanak-kanak berusia tujuh tahun (kontak rapat kes) yang belum layak mendapat vaksin,” katanya.

Siasatan Kementerian Kesihatan mendapati bahawa besar kemungkinan perkongsian kemudahan asas seperti tandas dan surau oleh ramai individu sudah memberi risiko kepada penularan jangkitan Covid-19 di Parlimen.

“KKM akan terus memantau status kesihatan semua kes positif Covid-19 ini, kontak rapat dan kes baharu yang lain kerana kemungkinan akan dilaporkan kerana masih dalam tempoh inkubasi,” katanya. -K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI