fbpx

Tiada jangkitan PPV, petugas wajib pakai dua pelitup muka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Zulkifli melakukan pemeriksaan MySejahtera semasa melakukan tinjauan di PPV Integrasi Dewan Perniagaan Cina Bentong di Bentong hari ini.

BENTONG – Semua petugas Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di daerah ini akan diwajibkan memakai dua pelitup muka dan pelindung muka dalam usaha mengelak risiko jangkitan Covid-19 dalam kalangan petugas.

Pegawai Daerah Bentong, Datuk Mohd. Zulkifli Hashim berkata, langkah ini dilakukan bagi mengelak penularan wabak Covid-19 sekiranya terdapat individu positif hadir suntikan vaksin sepertimana yang berlaku di Pusat Pemberian Vaksin Dewan Arena Benus baru-baru ini.

“Saya menasihatkan masyarakat mengambil berat keadaan masing-masing dan jika bergejala janganlah hadir ke PPV dan semua individu yang hadir akan disaring terlebih dahulu dan mereka yang dikuarantin serta bergejala tidak dibenarkan masuk.

“Dalam kejadian di Dewan Arena Benus baru-baru ini tiada makluman mengenai jangkitan kepada orang lain, individu berkenaan sahaja didapati positif dan dikuarantin di rumah kerana berada pada tahap satu jangkitan,” katanya selepas melakukan tinjauan di PPV Integrasi Dewan Perniagaan Cina Bentong di sini, hari ini.

Dalam kejadian Jumaat lalu orang ramai yang hadir di PPV Dewan Arena Bentong gempar selepas seorang wanita yang hadir didapati positif Covid-19 selepas mengalami gejala batuk yang teruk sebaik sahaja selesai suntikan.

Difahamkan wanita yang demam dan batuk sejak seminggu lalu itu hadir di dewan berkenaan pada pukul 12.30 tengah hari sehingga pukul 2.30 petang bagi mendapatkan suntikan vaksin.

Menurut Mohd. Zulkifli pada masa ini terdapat satu PPV Integrasi iaitu di Dewan Perniagaan Cina Bentong manakala dua lagi adalah PPV tetap di Dewan Majlis Perbandaran Bentong dan Sekolah Menengah Kebangsaan Karak Setia selain satu PPV dikendalikan pihak swasta di Genting Highlands.

Sementara itu, beliau berkata semua individu yang hadir perlu disaring termasuklah melalui MySejahtera bagi memastikan mereka tidak bergejala dan juga tidak menjalani kuarantin.

Ujarnya, semua yang hadir mendapatkan vaksin juga perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan seperti memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI