fbpx
SITI Aisyah menunjukkan perusahaan fucuk diusahakan keluarganya di sebuah kilang di Sungai Semambu, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Legasi perniagaan fucuk Melayu selama 37 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Tatkala melangkah masuk ke dalam kilang fucuk jenama Hasdey di Sungai Semambu, Bukit Mertajam, Pulau Pinang baru-baru ini, penulis disambut dengan suasana panas membahang seolah-olah berada di dalam sauna.

Begitulah situasi di dalam gudang tersebut yang dipercayai satu-satunya kilang perusahaan fucuk Bumiputera di negara ini yang turut diiktiraf halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Umum mengetahui bahawa fucuk lebih sinonim dengan masyarakat Tionghua kerana banyak masakan Cina menggunakan fucuk sekali gus perusahaannya dipelopori para pengusaha bukan Melayu.

Lebih menarik, perniagaan tersebut telah bermula sejak tahun 1984 dan kini menjadi sebuah legasi perniagaan yang terus berkembang.

Tauhu kering atau dikenali sebagai sayur fucuk lazim menjadi pelengkap pelbagai juadah kegemaran masyarakat Malaysia seperti lontong, masak lemak dan sup sayur.

Proses pembuatan fucuk yang hanya menggunakan bahan kacang soya kedengaran amat ringkas, namun hakikatnya ia tidaklah semudah disangka.

Tatkala melangkah masuk ke dalam kilang fucuk di Sungai Semambu, Bukit Mertajam, Pulau Pinang baru-baru ini, penulis disambut dengan suasana panas membahang seolah-olah berada di dalam sauna.

Begitulah situasi di dalam gudang tersebut yang dipercayai satu-satunya kilang perusahaan fucuk Bumiputera di negara ini yang turut diiktiraf halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Umum mengetahui bahawa fucuk lebih sinonim dengan masyarakat Tionghua kerana banyak masakan Cina menggunakan fucuk sekali gus perusahaannya dipelopori para pengusaha bukan Melayu.

Lebih menarik, perniagaan tersebut telah bermula sejak tahun 1984 dan kini menjadi sebuah legasi perniagaan yang terus berkembang.

Siti Aisyah Sulaiman, 34, berkata, perusahaan keluarga yang bertapak di Bukit Mertajam sejak 37 tahun lalu itu kini mampu menghasilkan kira-kira 4,000 pek fucuk sehari.

Sebelum ini, mereka mengusahakan fucuk cuma di sebuah bangsal dan mula mengusahakannya di kilang tersebut sejak tahun 2019.

Pekerja-pekerja sedang melakukan proses mendapatkan pati soya menggunakan mesin khas sebelum diproses menjadi sayur fucuk.

Siti Aisyah berkata, bisnes itu mula diusahakan oleh arwah datuknya, Husain Mahmud pada tahun 1984 setelah mempelajari pembuatan fucuk daripada seorang rakannya yang berketurunan Cina.

Arwah datuknya memilih memulakan perniagaan fucuk memandangkan tiada langsung orang Melayu yang mengusahakannya.

“Rakan arwah datuk itu bukan sahaja berkongsi resipi dan cara membuat fucuk bahkan menggalakkan datuk berniaga fucuk lalu arwah pun memulakan perniagaan ini.

“Kini, kami menjadi penyambung legasi dan usaha arwah untuk menghasilkan fucuk yang boleh dinikmati masyarakat Melayu dan Islam tanpa was-was,” kata Siti Aisyah yang merupakan pegawai pemasaran fucuk jenama Hasdey kepada K2.

Menurut anak kelima daripada lapan beradik itu, kilang keluarganya itu menggunakan kacang soya import dari Amerika Syarikat dan Kanada bagi menghasilkan fucuk berkualiti tinggi.

Katanya, kacang soya organisma tidak terubah suai genetik (non-GMO) menjadi pilihan kerana lebih berkhasiat dan bebas bahan kimia

Bercerita mengenai operasi kerja di kilang tersebut, Aisyah berkata, sesi pembuatan fucuk terbahagi kepada dua sesi iaitu pagi dan petang.

“Kacang soya yang sudah ditimbang akan direndam di dalam tong khas selama enam jam.

“Kemudiannya, kacang soya ini akan dikisar, dididihkan sebelum patinya dicurah atas dulang khas.

“Buih air soya akan dibuang dan lapisan berkedut yang terhasil di permukaan akan diangkat lalu dikeringkan,” katanya sambil menjelaskan pada awal perniagaan dahulu fucuk diusahakan keluarga itu dipek tanpa jenama dan jenama Hasdey hanya bermula selepas perniagaan diambil alih oleh abang saudaranya, Hasdey Saidin pada 1990-an.

SITI Aisyah (kiri) dan Alia Nur Kamaliah membuat pemeriksaan terakhir sebelum pek-pek fucuk dihantar kepada pembekal.

Menurutnya, sebelum kilang ini beroperasi, proses pembuatan fucuk dijalankan di sebuah bangsal menggunakan tiga dapur kayu api.

“Bukan mudah untuk memenuhi permintaan pasaran apabila semua proses pembuatan dilakukan secara tradisional.

“Bagaimanapun, kini segalanya lebih mudah dan teratur kerana pembuatan fucuk menerusi 20 dapur gas dengan melibatkan penggunaan 80 hingga 100 buah tong gas sehari,” katanya.

Kongsinya, faktor cuaca antara cabaran besar yang perlu didepani pengusaha fucuk kerana musim hujan akan merencatkan proses pengeringan fucuk.

“Biarpun di kilang, proses pengeringan masih dilakukan di bawah matahari. Kebiasaannya fucuk yang dijemur boleh kering dalam tempoh dua hingga tiga jam sahaja, tapi sekiranya hujan, proses pengeringan dilakukan di dalam gudang boleh berlarutan sehingga dua hari,” katanya.

HAMPAS kacang soya dipindahkan ke van untuk dijual kepada penternak lembu.

Adik kepada Siti Aisyah iaitu Alia Nur Kamaliah, 25, yang merupakan pengurus kilang pula berkata, minat berniaga mula timbul selepas abang saudara, Hasdey mengajaknya untuk terus bekerja di situ selepas menamatkan pengajian Diploma Multimedia di Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

“Kami kini bersama-sama menguruskan kilang dan mengendalikan kebajikan 23 pekerja. Saya sendiri akan turun padang dan berurusan dengan pembekal sekiranya terdapat sebarang permasalahan.

“Dalam bidang ini, kami menimba pengalaman baharu dan seni perundingan perlu dipraktikkan bagi memastikan kerjasama terjalin memuaskan kedua-dua belah pihak,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN