fbpx
RANGKA katil dihasilkan daripada kadbod yang mampu menampung berat sehingga 200 kilogram.

Katil kadbod boleh tampung berat 200 kilogram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

INOVASI dan teknologi terkini telah memungkinkan bagi penghasilan produk daripada bahan yang selama ini dianggap mustahil untuk dibuat.

Ini terbukti selepas sebuah syarikat di Jepun berjaya membuat katil daripada kadbod untuk kegunaan atlet di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang kini sedang berlangsung.

Ia bukan sahaja kuat sehingga boleh menampung beerat sehingga 200 kilogram, tetapi juga boleh dikitar semula selepas ini.

Jepun sememangnya sebuah negara yang terkenal dengan kepesatan teknologi dan inovasi terkini yang kadangkala tidak terjangkau oleh fikiran kita.

Syarikat-syarikat dari Negara Matahari Terbit itu sentiasa terkedepan dalam menghasilkan inovasi barangan berasaskan teknologi yang mesra pengguna dan alam sekitar.

Sempena temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang kini dilangsungkan di negara tersebut, syarikat pengeluar katil tersohor, Airweave menghasilkan katil daripada kadbod yang boleh dikitar semula dan tilam yang disesuaikan untuk kegunaan atlet dari seluruh dunia.

Syarikat itu mengeluarkan sebanyak 18,000 katil dan tilam untuk atlet yang bersaing di temasya sukan terbesar dunia itu, tidak termasuk 8,000 lagi untuk kegunaan atlet paralimpik.

Bingkai katil dihasilkan daripada kadbod kitar semula, manakala tilam modular diperbuat daripada serat polietilena.

Katil yang dibina itu berukuran 2.10 meter panjang, dikatakan mampu menampung berat kira-kira 200 kilogram.

Inovasi tersebut dihasilkan sejajar dengan pelan kemampanan Sukan Olimpik Tokyo 2020 bertujuan untuk mempamerkan konsep dan penyelesaian inovatif yang dapat diwarisi selepas temasya sukan itu berakhir.

ATLET yang bersaing di Sukan Olimpik Tokyo 2020 disediakan katil yang dihasilkan daripada kadbod yang pada asasnya tampak ringan tetapi sebenarnya kuat dan tahan lasak.

“Inovasi kami adalah menghasilkan katil mudah dipasang dan tilam yang ringan daripada bahan kitar semula.

“Ia bagi memenuhi pelan kemampanan temasya sukan ini secara keseluruhan,” jelas jurucakap Airweave dalam satu kenyataan.

Rangka katil yang dihasilkan daripada kadbod itu menyokong versi tilam modular keluaran Airweave yang direka dengan bentuk khas untuk menampung atlet yang memiliki saiz badan yang berbeza.

Tilam untuk katil itu terdiri daripada tiga blok berasingan yang dihasilkan daripada gentian polietilena yang sangat kenyal.

Satu bahagian adalah untuk menyokong kepala dan bahu, manakala dua bahagian lagi bagi mengampu pinggang dan kaki.

Apa yang istimewa, tilam berkenaan boleh disatukan dalam satu sarung.

Selain itu, tilam itu juga dapat disusun dalam empat tahap keteguhan yang berbeza pada setiap sisi.

Ini membolehkan atlet menyesuaikan tilam mereka dengan mengubah susunan ketiga-tiga blok berkenaan dan membalikkannya dengan susunan berbeza.

“Reka bentuk tilam modular khas kami memungkinkan penyesuaian keteguhan di bahu, pinggang dan kaki untuk mencapai keselarasan tulang belakang dan postur tidur yang betul,” kata jurucakap itu lagi.

Di samping itu, atlet yang bersaing di sukan Olimpik pada kali ini juga boleh ke pusat pemasangan tilam di Perkampungan Atlet bagi mendapatkan bantuan dan penerangan tilam yang sesuai untuk mereka.

Selain itu, syarikat terbabit juga telah membangunkan aplikasi untuk membantu para atlet mencari tilam yang terbaik dengan bentuk badan mereka.

Dalam hal ini, atlet hanya perlu mengirimkan gambar dan memasukkan ukuran tubuh mereka dalam aplikasi tersebut bagi mendapatkan konfigurasi tilam yang disyorkan.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Perkampungan Atlet Sukan Olimpik Tokyo 2020, Takashi Kitajima menjelaskan, rangka katil itu dihasilkan daripada kadbod yang sangat kukuh.

TILAM modular yang dihasilkan daripada inovasi terkini direka khas untuk atlet yang memiliki saiz badan yang berbeza.

“Tempat tidur ini mampu menampung berat sehingga 200 kilogram dan pastinya tiada atlet yang bersaing di Sukan Olimpik Tokyo 2020 mempunyai berat sedemikian.

“Ia sebenarnya lebih kuat daripada katil kayu yang banyak digunakan pada ketika ini. Ini adalah kali pertama Perkampungan Atlet menggunakan katil dan tilam yang dihasilkan daripada bahan yang boleh diperbaharui.

“Jawatankuasa penganjur memikirkan barang-barang yang dapat dikitar semula dan tempat tidur adalah salah satu idea tersebut.

“Kami memberikan penghargaan kepada syarikat Airweave yang berjaya merealisasikan idea ini,” katanya.

Bagaimanapun, Kitajima turut mempertimbangkan kemungkinan akan ada atlet yang meraikan kemenangan mereka di dalam bilik setelah memenangi pingat emas.

Tegasnya, sudah tentu, kayu ataupun kadbod akan pecah jika ada yang melompat di atasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN