fbpx

Parlimen bahas Ordinan Darurat September ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Satu usul untuk membahas dan mengungkaikan Ordinan-ordinan Darurat boleh dibawa dalam sidang Parlimen yang dijangka berlangsung pada bulan September depan berikutan proses pembatalannya tidak dapat disempurnakan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia adalah selaras dengan titah pandangan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan peruntukan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, pembatalan Ordinan-ordinan Darurat oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak lagi berbangkit dengan berakhirnya Proklamasi Darurat pada 1 Ogos lalu.

“Adalah dimaklumkan bahawa proses pembatalan Ordinan-ordinan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong sepertimana yang disembah nasihat oleh Jemaah Menteri pada 23 Julai lalu tidak dapat disempurnakan.

“Maka, selaras dengan titah pandangan Seri Paduka Baginda peruntukan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan, suatu usul untuk membahas dan seterusnya mengungkaikan ordinan-ordinan darurat berkenaan boleh dibawa dalam sidang Parlimen yang dijadualkan berlangsung pada bulan September depan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, usul itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri esok.

“Ia diharapkan dapat menyelesaikan polemik berkaitan pembatalan Ordinan-ordinan Darurat secara harmoni dan berperlembagaan,” katanya.

Pada 29 Julai lalu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa amat dukacita dengan pengumuman kerajaan berhubung pembatalan semua Ordinan Darurat memandangkan ia belum diperkenankan baginda.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dititahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, semasa majlis menghadap secara maya 24 Julai lalu bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan, tidak dilaksanakan. -K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI