fbpx

Gempar bunyi tembakan, letupan di sempadan Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota renjer Thailand turut menjalankan rutin rondaan di Sungai Golok hari ini selepas kejadian pertempuran senjata api pagi tadi. FOTO ZULHANIFA SIDEK

PASIR MAS – Penduduk di beberapa kawasan di daerah ini dikejutkan dengan bunyi tembakan dan letupan bom dari Tak Bai, Narathiwat, Thailand di seberang Sungai Golok pagi tadi.

Kejadian yang berlarutan selama sejam bermula pukul 3 pagi itu menyebabkan penduduk Kampung Kubang Pak Hitam, Kampung Bakong dan Kampung Kampung Mok Ngibi di sini terjaga daripada tidur selepas rumah mereka bergegar akibat dentuman bom tersebut.

Pertempuran antara renjer dan sekumpulan lelaki bersenjata menyebabkan seorang anggota maut manakala empat lagi dilaporkan parah.

Difahamkan, kejadian berpunca daripada serangan hendap oleh sekumpulan lelaki bersenjata di sebuah pos kawalan di kawasan berkenaan berikutan kematian seorang anggota militan dalam insiden berbalas tembakan di Pattani semalam.

Penduduk Kampung Mok Ngobi, Siti Rokiah Ahmad, 63, berkata, dia terjaga tidur pada pukul 3 pagi selepas terdengar bunyi letupan bom.

Katanya, kedudukan rumahnya yang terletak di tepi Sungai Golok menyebabkan berlaku gegaran seperti gempa bumi.

“Kami sekeluarga hanya duduk di dalam rumah dan tidak berani keluar kerana bimbang sekiranya ada peluru sesat.

“Kami risau kerana bunyi tembakan dan letupan itu amat kuat. Sudah lama kami tidak mendengar bunyi tembakan dari seberang Sungai Golok,” katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Menurut Rokiah, lebih membimbangkan apabila keseluruhan rumahnya yang diperbuat daripada kayu bergegar sepanjang pertempuran berlaku.

Tinjauan Kosmo! di Pos Pengkalan Pulau yang dikawal oleh Batalion 9, Pasukan Gerakan Am (PGA) mendapati, renjer Thailand mengawasi kawasan di sepanjang Sungai Golok.

Pemerhatian di Pengkalan Mok Ngibi pula mendapati anggota renjer turut menjalankan pemantauan rapi di sekitar kawasan darat di Kampung Padang Nyior. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI