fbpx

MDC Pusrawi, SuperBig bekerjasama wujud rangkaian farmasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aslan (duduk, kanan) bersama Wan Sazrina (duduk, kiri) menandatangani MoU bagi mewujudkan rangkaian farmasi antara MDC Pusrawi dan SuperBig di Kuala Lumpur baru-baru ini.

PETALING JAYA – MDC Pusrawi telah menjalin kerjasama dengan SuperBig Capital Bhd. (SuperBig) syarikat berteraskan perniagaan farmasi, untuk membangunkan rangkaian farmasi yang kukuh dalam industri kesihatan

Entiti baharu yang dikenali sebagai Pusrawi – SuperBig Pharmacy Sdn. Bhd. itu tidak hanya menawarkan perkhidmatan di Hospital Pusrawi tetapi juga bakal menawarkan khidmat kepada masyarakat.

Ketua Pegawai Eksekutif MDC Asia Link Bhd. (MALB), Dr. Aslan Bacho berkata, perancangan syarikat untuk tempoh tiga tahun akan datang adalah menjadikan Pusrawi – SuperBig Pharmacy sebagai sebuah jenama sendiri farmasi yang kukuh di pasaran.

“Dengan kerjasama stra­tegik ini, kedua-dua syarikat dapat ­ membantu masyarakat berdepan dengan pelbagai masalah berkaitan kesihatan.

“Sekali gus akan memudahkan orang ramai mendapatkan bekalan ubat dan produk penja­gaan kesihatan di cawangan farmasi kami kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan bersempena me­morandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara MDC Pusrawi dan SuperBig.

Turut hadir Pengasas dan Ke­tua Pegawai Eksekutif SuperBig, Dr. Wan Sazrina Wan Zaid.

MDC Pusrawi dahulunya dikenali sebagai Hospital Pusrawi dimiliki sepenuhnya oleh MALB.

Aslan menjelaskan, melalui penubuhan syarikat tersebut, farmasi berkenaan akan dijadikan sebagai anak syarikat bagi mana-mana antara kedua syarikat induk tersebut untuk cadangan melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO) pada masa depan.

Mengulas lanjut, Aslan menjelaskan, kerjasama ini juga bakal memberi peluang, berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam dunia usahawan kepada graduan farmasi.

“Selain itu, kita juga akan menyediakan khidmat nasihat kepada masyarakat berhubung pengambilan ubat-ubatan ­de­ngan betul,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI