fbpx

Hafarizam bebas 3 pertuduhan pengubahan wang haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hafarizam (depan) ketika tiba di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan peguam terkemuka Datuk Mohd. Hafarizam Harun atas tiga pertuduhan terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM15 juta milik bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke akaun firma guamannya, enam tahun lalu.

Hakim Suzana Hussin membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ishak Mohd. Yusof memaklumkan pihaknya menarik balik ketiga-tiga pertuduhan terhadap Mohd. Hafarizam.

Semasa prosiding, Ishak memberitahu bahawa pihak pendakwaan menarik balik ketiga-tiga pertuduhan tersebut selepas tertuduh bersetuju membayar kompaun terhadap kesemua kesnya.

“Berdasarkan permohonan pihak pendakwaan dan kompaun yang telah dijelaskan dalam kes ini, mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh daripada ketiga-tiga pertuduhan yang didakwa ke atasnya. Wang jaminan (RM200,000) dipulangkan,” kata hakim itu.

Dalam pada itu, peguam Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili Mohd. Hafarizam turut mengesahkan kompaun berjumlah RM590,587.26 itu telah selesai dijelaskan semalam.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd. Hafarizam, 49, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang berjumlah RM7.5 juta yang merupakan hasil daripada aktiviti haram melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad milik Najib bertarikh 16 April 2014, yang dimasukkan ke dalam akaun firma guamannya, Tetuan Hafarizam, Wan & Aisha Mubarak.

Peguam yang juga penasihat undang-undang UMNO yang mewakili Najib dalam beberapa kes saman sivilnya didakwa melakukan perbuatan tersebut di CIMB Bank Berhad, Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail di sini, pada 17 April 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Mohd. Hafarizam didakwa menerima wang berjumlah RM4 juta dan RM3.5 juta yang merupakan hasil daripada aktiviti haram melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad milik Najib bertarikh 7 November 2014 dan 21 Januari 2015 yang dimasukkan ke dalam akaun firma guaman sama.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu antara 12 November 2014 dan 12 Februari 2015 di tempat sama, mengikut Seksyen 4(1)(b) akta sama, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI