fbpx

Durian runtuh Pfizer ketika varian Delta menggila

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pejalan kaki berjalan melewati ibu pejabat syarikat Pfizer Inc. di Bandar Raya New York pada Disember 2020. – AFP

BANDAR RAYA NEW YORK – Gergasi farmaseutikal Amerika Syarikat(AS), Pfizer memperoleh pendapatan berjumlah AS$7.8 bilion (RM32.9 bilion) daripada hasil jualan vaksin Covid-19 pada suku kedua tahun ini, lapor akhbar New York Post kelmarin.

Pfizer meramalkan pendapatannya akan terus meningkat pada suku kewangan seterusnya terutama ketika dunia bergelut memerangi varian Delta.

Syarikat farmaseutikal beribu pejabat di New York itu mengumumkan akan menghantar kertas kerja program suntikan dos penggalak atau dos ketiga seawal minggu depan untuk kelulusan pihak berkuasa kesihatan AS.

“Pfizer dijangka menjana pendapatan AS$33.5 bilion (RM141.453 bilion) hasil jualan 2.1 bilion dos vaksin Covid-19 pada tahun ini,” kata Ketua Pegawai Kewangannya, Frank D’Amelio kepada pelabur kelmarin.

Angka tersebut merupakan kenaikan hampir 30 peratus berbanding unjuran sebelumnya sekali gus menjadikan vaksin dua dos yang dibangunkan bersama firma Jerman, BioNTech antara ubat paling menguntungkan dalam sejarah.

Jualan vaksin Covid-19 merangkumi satu pertiga daripada pendapatan keseluruhan Pfizer yang berjumlah AS$18.9 bilion (RM80.1 bilion) pada suku April hingga Jun lalu. Angka itu mengatasi ramalan penganalisis-penganalisi Wall Street yang menjangkakan pendapatan AS$18.7 bilion (RM79.1 bilion), demikian
menurut saluran berita CNBC.

Berikutan varian Delta kini menular pantas ke serata dunia, Pfizer memberitahu para pelabur bahawa pihaknya akan meneruskan program pemberian suntikan dos penggalak.

Usul mengenainyaa akan dikemukakan kepada pihak berkuasa ubat-ubatan di Benua Amerika dan Eropah sebagai permulaan.

“Kami masih dalam perbincangan dengan badan-badan pengawal selia ubat-ubatan mengenai program dos ketiga vaksin Pfizer/BioNTech.

“Setakat ini, perbincangan membawa hasil positif dan kami menjangkakan menerima Kebenaran Penggunaan Darurat seawal bulan hadapan,” kata Ketua Pegawai Saintis Pfizer, Mikael Dolsten.

Sementara itu, Covid-19 telah membunuh sekurang-kurangnya 4,179,675 orang sejak pandemik itu muncul di China pada Disember 2019, demikian menurut jumlah rasmi yang dikumpulkan oleh agensi berita AFP.

AS merupakan negara paling teruk terjejas dengan 611,288 kematian, diikuti Brazil (551,835), India (422,022) Mexico (239,079) dan Peru yang merekodkan 196,058 kematian setakat kelmarin.

Bagaimanapun, Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyatakan bahawa jumlah korban sebenar akibat Covid-19 adalah sekitar tiga kali ganda lebih tinggi berbanding angka rasmi yang dilaporkan. – Agensi/AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI