fbpx

80% syarikat disenaraikan di bursa patuh syariah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
INdeks syariah telah mencatat pertumbuhan pada kadar yang menggalakkan sejak 10 tahun lalu. – Gambar hiasan

PETALING JAYA – Sebanyak 80 peratus atau 747 daripada 940 syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia adalah patuh syariah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, permodalan pasaran syariah sehingga Jun 2021 mewakili 68 peratus daripada ke­seluruhan permodalan pasaran bursa sebanyak RM1.7 trilion, manakala purata nilai dagangan harian (ADV) saham patuh syariah mewakili 79 peratus daripada ADV bursa yang berjumlah RM4.4 bilion.

“Kami secara berterusan memerhatikan indeks syariah secara konsisten mengungguli rakan konvensionalnya sejak sepuluh tahun kebelakangan ini.

“Sebagai contoh, Indeks Syariah Hijrah FTSE Bursa Malaysia, yang terdiri 30 syarikat patuh syariah terbesar di FTSE Bursa Malaysia Indeks EMAS telah mengatasi FTSE Bursa Malaysia KLCI, dengan pertumbuhan sekitar 22.3 peratus antara tahun 2010 dan Jun 2021,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluannya pada Persidangan Maya Pelaburan Syariah 2021 bertemakan Keles­tarian: Mencipta Peluang Baharu Dalam Kewangan Islam anjuran Bursa Malaysia dan CGS-CIMB Securities semalam.

Turut hadir Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Selain itu, Muhamad Umar berkata, pertimbangan untuk memasukkan nilai ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus) dalam pemilihan aset kini semakin mendapat permintaan.

Jelasnya, berdasarkan analisis Deutsche Bank/GSIA baru-baru ini, portfolio dengan mandat ESG dijangka mencapai AS$160 trilion (RM674 trilion) pada tahun 2036, bermakna penyatuan nilai ESG ke dalam pengurusan dana akan menghampiri paras 100 peratus.

“Di Malaysia, pertumbuhan dalam pelaburan berasaskan nilai menyediakan peluang unik kepada kewangan Islam kerana prinsip ESG memiliki banyak persamaan dengan pendekatan peningkatan modal dalam Islam yang menuntut keadilan dan pemerkasaan semua pihak berkepentingan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI