fbpx

Rondaan helikopter patahkan cubaan seludup daun ketum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azhar (tiga dari kiri) menunjukkan sebahagian daun ketum yang dirampas dalam dua kes berasingan di Padang Besar, Perlis.

BUKIT KAYU HITAM – Rondaan Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama Pasukan Gerakan Udara (PGU) menggunakan helikopter di sempadan darat Malaysia-Thailand di negeri ini dan Perlis berjaya mematahkan cubaan menyeludup daun ketum ke negara jiran dekat Padang Besar, Perlis pada semalam.

Tinjauan udara Ops Benteng Covid menggunakan helikopter AW139 itu mengesan beberapa objek berwarna putih di tepi kawasan berbukit yang merupakan lorong tikus kegiatan penyeludupan di Felcra Lubuk Sireh kira-kira pukul 3.30 petang.

Rondaan tersebut diketuai Pegawai Pemerintah Batalion 3 PGA Bidor, Perak, Superintendan Azhar Hashim bersama juruterbang helikopter PGU Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pangkalan Semenanjung, Superintendan Muhamad Jefri Jaafar.

Menurut Azhar, pihaknya kemudian mengarahkan sepasukan anggota tindak cepat PGA untuk mengesan dan menggeledah kawasan tersebut.

“Hasil pemeriksaan menemui sebanyak lima guni putih mengandungi 150 kilogram daun ketum dianggarkan bernilai RM4,500 yang disyaki mahu diseludup ke Thailand.

“Lokasi penemuan daun ketum terletak berhampiran jalan keselamatan negara iaitu hanya kira-kira 15 meter dari tembok sempadan Malaysia-Thailand,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI