fbpx

Dewan Rakyat: Azalina tidak maklum pembatalan Ordinan Darurat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azalina

PETALING JAYA – Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said mengaku beliau sendiri tertanya-tanya mengenai pengumuman kerajaan Ordinan Darurat telah dibatalkan pada 21 Julai lalu.

Beliau membuat pengakuan itu pada hari kedua persidangan khas Dewan Rakyat pagi ini selepas isu berkenaan dibangkitkan sekali lagi oleh pembangkang sejurus sidang bermula.

“Sebenarnya saya pun sebagai Ahli Parlimen dalam situasi yang agak sama dan ramai peguam di media sosial bertanyakan soalan sama.

“Tetapi memandangkan kita adalah sistem demokrasi berparlimen, saya dimaklumkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat menteri undang-undang akan beri penerangan dan jawapan kepada perkara ini,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo membangkitkan persoalan tentang pengumuman kerajaan Ordinan Darurat telah dibatalkan pada 21 Julai 2021.

Menurut beliau, perkara itu sangat penting kerana semua pihak mahu tahu adakah pembatalan tersebut mengikut Perlembagaan Negara dan mendapat perkenaan Yang di-Pertuan Agong serta kesannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan kemudian memberitahu beliau akan memberi penjelasan mengenai semua perkara berkaitan Ordinan Darurat termasuk pembatalannya di Dewan Rakyat Isnin ini.

Semalam Takiyuddin mengesahkan bahawa kerajaan sudah membatalkan semua peraturan di bawah Ordinan Darurat berkuatkuasa mulai 21 Julai lalu.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan Proklamasi Darurat masih belum dibatalkan dan akan berkuatkuasa sehingga 1 Ogos ini. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI