fbpx
HANNA AQEELA

Tak popular, tak apa – Hanna Aqeela

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERJALANAN karier pelakon Hanna Aqeela bukan baru setahun jagung. Sedar atau tidak, sudah lebih lima tahun dia mengabdikan diri sebagai anak seni sejak 2013.

Bagaimanapun, tempoh panjang berkenaan tidak menjanjikan simbahan gemerlapan populariti kepada dirinya seperti artis lain yang mudah mencipta nama dalam masa singkat.

Akui Hanna, 31, kadar populariti kerap menjadi buah pertanyaan ramai kerana kehadirannya dalam industri seperti tenggelam timbul, adakalanya disedari bahkan kadangkala dipandang sepi.

“Sebenarnya sangat kerap saya diajukan soalan seperti ini, sudah lama dalam industri tetapi belum sampai tahap merasa populariti.

“Sejujurnya, saya tak ada rasa nak mengeluh pun sebab selagi ada tawaran, semuanya okey. Kalau nanti tiba-tiba suatu hari rezeki saya tiada, mungkin masa itu saya akan ada rasa sesal dan kecewa kenapa tak popular. Tetapi setakat ini semuanya okey,” jawabnya bernada polos.

Biarpun tidak meledak-ledak, namun pemilik nama sebenar Hanna Aqeela Mohd. Rosni itu bersyukur kerana selama tempoh bergelar pelakon, banyak perkembangan yang berlaku dalam dirinya.

Paling penting, dia mempelajari banyak perkara terutama melibatkan kerjayanya sebagai pelakon dengan memahami teknik lakonan.

TIDAK timbul keghairahan untuk bersaing dengan pendatang baharu, Hanna sebaliknya lebih gemar mempertaruhkan bakat dan karya lakonannya kepada penonton untuk menilai.

“Untuk perkembangan individu, saya boleh katakan saya berubah daripada ‘nothing to something’.

“Paling seronok, saya belajar banyak benda terutama dalam bidang lakonan. Kalau dahulu tak berapa pandai berlakon, sekarang dah boleh.

“Sebenarnya itu juga satu kepuasan sebab dalam setiap lakonan, kita melihat sambutan penonton.

“Dahulu kena marah kalau tak pandai berlakon, sekarang orang puji bila tonton lakonan kita pula,” ujarnya.

Hanna berkata demikian ketika ditemui secara maya sempena mempromosikan drama terbaharu lakonannya berjudul Suara Hati.

Drama arahan Emi Suffian atau Pyan Screw berkenaan menyaksikan gandingan Hanna sebagai Hani dengan dua hero lelaki iaitu Syafiq Kyle sebagai Haris dan Aidil Aziz (Naim).

SEORANG yang aktif bermain futsal, namun dalam drama Suara Hati, Hanna tidak menonjolkan bakatnya dalam sukan tersebut, tidak seperti Syafiq untuk watak Haris.

Air mata

Berbicara lanjut tentang drama yang sudah mula bersiaran sejak 19 Julai lalu menerusi Astro Prima, Hanna berkata, Suara Hati berkisar tentang seorang wanita bernama Hani yang berdepan konflik cinta tiga segi.

Hani bercinta dengan Haris ketika zaman belajar tetapi selepas lelaki itu menyepikan diri, dia tersepit antara pilihan keluarganya yang mahukan dia mendirikan rumah tangga dengan pensyarah dan kaunselor bernama Naim.

Menyentuh tentang keserasian bersama dua hero berkenaan, Hanna mengakui pekerjaan mereka dipermudahkan sepanjang penggambaran.

“Saya dan Aidil baru sahaja habis sebuah drama bersama, sementara dengan Syafiq pula, ini gandingan semula selepas tujuh tahun kali terakhir kami bekerjasama. Jadi tiada sebarang masalah untuk drama ini.

“Alhamdulillah, kerja kami sepanjang penggambaran pada April lalu jadi mudah sebab mereka berdua senang diajak berbincang dan mudah memberi idea,” katanya.

Mendalami pegangan wataknya dalam Suara Hati, wanita yang memulakan langkah kariernya sebagai model iklan televisyen itu mengakui naskhah berkenaan agak berat untuknya.

Apatah lagi Suara Hati sebenarnya merupakan karya yang mengetengahkan kisah hidup dan dugaan yang dihadapi Hani, maka banyak babak yang menuntutnya mengeluarkan segudang air mata dan berendam emosi.

“Drama ini memerlukan saya banyak menangis. Cuma sewaktu menjayakan babak tersebut, saya tak paksa diri tetapi dapat menjiwai watak itu, jadi sangat mudah mengeluarkan air mata,” katanya lagi.

TIDAK melalui banyak cabaran sepanjang penggambaran Suara Hati, namun Hanna mengakui situasi pandemik tetap menimbulkan halangan tertentu seperti lokasi dan jumlah pelakon yang boleh ada dalam satu masa.

Realiti, cinta

Pada masa sama, Hanna ditebak dengan kadar berapa dekat realiti dirinya dengan watak yang dijayakan dalam drama berkenaan.

Jelas pelakon kelahiran Kuala Lumpur itu, selain watak isteri dan mempunyai anak, Hani sangat berbeza daripada dirinya yang sebenar kerana tidak pernah terlibat dalam konflik cinta tiga segi.

“Kalau diikutkan, watak Hani sangat jauh daripada realiti kehidupan saya. Saya belum berkahwin tetapi dalam drama ini saya mendirikan rumah tangga dan ada anak.

“Malah dalam kehidupan sebenar, saya tidak pernah alami cinta tiga segi. Satu lagi perkara, saya sendiri tak pernah berada dalam situasi apabila pasangan hidup ditentukan oleh pihak keluarga. Jadi itu sedikit sebanyak berikan cabaran,” ceritanya.

Konflik cinta yang membelenggu kehidupan Hani, Naim dan Haris bukan kisah luar biasa. Perkara tersebut sering berlaku dalam kehidupan seseorang.

Meneladani pengajaran Suara Hati, Hanna mengakui, terdapat satu hal yang membuka matanya untuk mengenal cinta dan perasaan sendiri secara mendalam.

“Apa yang saya belajar daripada watak Hani dan drama ini adalah tidak kira macam mana kita mengawal hidup, seperti contohnya memilih pasangan sendiri, tapi kalau takdir menentukan sebaliknya, itulah yang terbaik untuk kita.

CAKNA dengan keadaan semasa kes harian Covid-19 yang mencanak naik ketika ini, Hanna juga sanggup menangguhkan segala aktiviti seni kerana enggan merisikokan keluarga yang tinggal sebumbung.

“Contohnya untuk situasi Hani, semasa nak memilih Naim atau Haris, apa suara hati yang dia rasakan sebelum itu adalah salah. Sebaik mana kita merancang tapi perancangan Allah jua yang paling hebat,” katanya.

Sebelum menutup perbualan, Hanna sempat diajak berbicara tentang pandemik dan impaknya terhadap karier seni yang menjadi salah satu bidang paling kuat terkesan.

Mengakui terjejas tetapi di sebalik semua itu, ada perkara yang jauh lebih penting diamalkan Hanna iaitu sentiasa berfikiran positif dan percaya kepada hikmah atas semua yang terjadi.

“Semua orang takkan dapat lari daripada perasaan tertekan. Kerjaya sebagai pelakon, kami dah biasa mainkan banyak karakter. Jadi otak kami berfungsi dengan pelbagai emosi. Itu cara meluahkan perasaan terbuku.

“Tetapi apabila tak boleh nak buat apa-apa macam sekarang, memang ada kesan, itu tidak dinafikan. Cuma kita perlu lakukan sesuatu untuk positif dan sayangi diri,” katanya yang bagaimanapun bersyukur kerana pandemik tidak menjejaskan kesihatan mentalnya kerana tinggal bersama keluarga.

Drama Suara Hati bersiaran menerusi saluran Astro Prima dari Isnin hingga Jumaat setiap pukul 6 petang.

BERITA BERKAITAN