fbpx

Austism Cafe Project air tangan anak-anak autistik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANAK-ANAK mudah autistik di kafe tersebut mempunyai kemahiran membuat pelbagai masakan termasuk pastri.

“SEBAGAI bapa, saya risau apabila mengenangkan masa depan anak kedua, Muhammad Luqman Shariff, 22, yang merupakan seorang penghidap autisme,” kata Mohd. Adli Yahya, 57, ketika dihubungi K2.

Menurut Mohd. Adli, dia sedar ‘kekurangan’ tersebut pastinya menyukarkan Muhammad Luqman Shariff untuk mendapatkan pekerjaan suatu hari nanti. Apatah lagi apabila anaknya perlu bersaing dengan individu-individu normal lain.

Bimbang nasib yang bakal dilalui anaknya yang merupakan autistik pasif itu, lelaki berasal dari Kota Bharu, Kelantan ini mengambil inisiatif mewujudkan Autism Cafe Project (ACP) dengan sokongan penuh isteri, Nozilan Mohammed, 57, sejak pertengahan 2017.

Asalnya ACP ditubuhkan untuk mengajar anaknya hidup berdikari. Bagaimanapun, tanpa disangkanya, kafe itu telah memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak autistik yang lain.

Bukan itu sahaja, ACP juga menjadi platform buat insan-insan istimewa ini bersosial dalam lingkungan selamat.

Mula beroperasi dengan menumpang di komuniti kantin Headstart Academy di Pusat Beli-Belah SACC Shah Alam, Selangor, ACP yang dikendalikan lapan belia autistik berumur lingkungan 18 hingga 25 tahun ini berjaya berpindah ke premis baharunya sendiri di DaMen Mall, Subang Jaya awal tahun lalu.

MOHD. ADLI (tengah) dan anak autistiknya, Muhammad Luqman Shariff (kanan) sewaktu meraikan kunjungan Lions Club of Kuala Lumpur ke premis Autism Cafe Project di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Di kafe ini, lapan individu autistik ini memasak, menghidangkan makanan, mengemas dan melayani pelanggan mengikut kemahiran masing-masing.

“Ramai yang tidak nampak bahawa anak autistik ini mempunyai pelbagai kebolehan sama seperti orang lain. Mereka sebenarnya tidak diberi peluang untuk menonjol. Di sini, saya mahu mengubah persepsi masyarakat yang beranggapan golongan ini memerlukan bantuan berterusan. Sebaliknya, mereka ini boleh menjadi lebih produktif jika diberi peluang.

“Inisiatif ini bukan sahaja membantu mereka mengisi waktu terluang dan mencungkil kebolehan diri, tetapi dalam masa yang sama menjana pendapatan sendiri,” katanya.

Bercerita lanjut, menurut bapa kepada enam orang cahaya mata itu, sebelum dia mengambil keputusan membuka kafe, Mohd. Adli terfikir beberapa bentuk perniagaan lain yang berpotensi diusahakan bagi membantu anak autistiknya itu.

“Muhammad Luqman Shariff sukakan air. Jadi, dalam fikiran saya pada waktu itu terdapat tiga bentuk perniagaan yang mendedahkan dirinya dengan air iaitu bisnes mencuci kenderaan, dobi layan diri dan kedai makan.

“Selain mahu anak berdikari, saya juga ingin dia berinteraksi dan memperbaiki kemahiran sosial memandangkan anak saya itu seorang autistik pasif.

“Melihatkan dobi layan diri dan khidmat mencuci kenderaan kurang terdedah dengan kemahiran sosial, saya nekad membuka kafe. Di kafe, saya boleh menyuruhnya mencuci pinggan mangkuk selari dengan aktiviti yang gemar dilakukannya. Dari situ, dia akan seronok untuk bekerja,” ujarnya.

MASAKAN-MASAKAN yang dihasilkan
di kafe ini diusahakan oleh anak-anak autistik yang minat memasak.

Akui Mohd. Adli, dikurniakan anak autistik oleh Yang Maha Esa membolehkan dia menyelami sifat anak-anak istimewa ini.

Secara tidak langsung, ia memudahkan Mohd. Adli dan isteri menguruskan kafe tersebut dan menghindari masalah tantrum anak-anak autistik.

“Anak-anak ini istimewa dan sangat unik. Jadi sebelum diambil bekerja, saya akan bertanya dahulu kepada ibu bapa mereka identiti dan kecenderungan masing-masing. Dari situ, kami akan fokus kepada kelebihan dimiliki untuk pembahagian tugas supaya mereka bekerja dalam keadaan seronok dan tidak tertekan,” jelasnya.

Pandemik yang melanda negara sejak awal tahun lalu turut menyebabkan kafe yang dikendalikan anak-anak autistiknya terjejas.

Tidak seperti insan biasa yang boleh menyesuaikan diri dengan perubahan semasa, Mohd. Adli terpaksa memikirkan satu pendekatan bagi membolehkan anak-anak tersebut terus bekerja dan menjalani rutin harian.

“Apabila negara dilanda pandemik dan perniagaan terpaksa dihentikan sementara, ramai yang tidak dapat menerima perubahan gaya hidup kerana mereka sudah terbiasa dengan rutin harian. Untuk memanggil mereka bekerja adalah satu perkara yang sangat mustahil kerana saya tidak mahu merisikokan kesihatan anak-anak ini. Tambahan pula, golongan ini sukar mengekspresikan sakit yang dirasai.

“Namun, apabila rutin harian berubah, mereka mula tantrum sehingga ada yang tertekan dan cuba untuk membunuh diri,” dedahnya.

SALAH seorang anak autistik menyediakan sajian sambil diperhatikan ibunya.

Bimbang dengan nasib anak-anak autistiknya itu, Mohd Adli memikirkan pendekatan yang boleh membantu mereka bekerja, tetapi dalam masa sama tidak terdedah dengan risiko jangkitan wabak.

“Kebetulan saya mengenali seorang rakan merupakan doktor di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia yang menceritakan kesibukan petugas barisan hadapan (frontliners) di hospital merawat pesakit Covid-19. Menyedihkan apabila kebanyakan mereka tidak sempat makan kerana tidak menang tangan dengan pertambahan kes. Ada yang bekerja selama 12 jam dan tidak sempat berehat menjamah makanan sehinggalah tamat waktu syif bekerja.

“Maka, saya terpanggil untuk menjalankan kempen Support a Frontliner. Bukan sahaja membantu petugas barisan hadapan makan pada waktu yang betul tetapi juga membolehkan anak-anak autistik ini memasak seperti biasa,” ceritanya.

Berkonsepkan seperti infak, peluang untuk berinfak diuar-uarkan kepada sesiapa yang ingin menyumbang pek makanan tengah hari kepada petugas barisan hadapan. Individu berminat hanya perlu membayar RM15 bagi satu pek makanan dan kemudian anak-anak autistik ACP akan menyediakan set hidangan lengkap makanan tengah hari sebelum dihantar ke hospital-hospital yang telah ditetapkan.

Setiap hari, sebanyak 70 pek makanan dihasilkan dan ia telah disumbangkan kepada beberapa buah hospital seperti Hospital Sungai Buloh, Hospital Serdang, Hospital Selayang dan Hospital Shah Alam.

“Selalu orang pandang anak-anak autistik ini perlu dibantu, tetapi saya mahu mengubah stigma tersebut bahawa mereka juga boleh membantu orang lain dan menyumbang kepada masyarakat. Dalam kempen ini, anak-anak autistik masih boleh meneruskan rutin harian mereka memasak makanan. Tetapi, mereka hanya lakukan di rumah dan masakan dihantar kepada kami untuk proses seterusnya,” tambahnya.

Kata Mohd. Adli, dia begitu terharu apabila rata-rata mereka mampu berdikari dan meningkatkan kemahiran sosial sejak menyertai ACP.

Tambahnya, sejak beroperasi empat tahun lalu, Mohd. Adli menerima banyak permintaan daripada ibu bapa yang mempunyai anak autistik yang mahu anak-anak mereka bekerja di kafe tersebut.

Atas faktor ruang, Mohd. Adli terpaksa menolak sebahagian daripada permintaan. Begitupun kerana mahu membantu anak-anak istimewa ini berdikari dan menjana pendapatan sendiri, Mohd. Adli sedang dalam perancangan membuka ACP di beberapa lokasi lain di Kuala Lumpur, Melaka dan Terengganu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI