fbpx
MIDAH terpaksa minta dilepaskan kerana tidak tahan dengan tabiat suaminya yang suka ‘ngeteh’ atau lepak di warung bersama rakan-rakan sehingga lewat malam selepas habis waktu kerja sehingga lupa keluarga. – Gambar hiasan

Derita isteri bersuamikan kaki ‘ngeteh’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIAP kali meneguk air teh panas, fikiran Midah (bukan nama sebenar) pasti teringat akan perkara besar yang berlaku sekitar 15 tahun lalu.

Berkongsi bersama K2, Midah yang merupakan anak kelahiran Chaah, Segamat, Johor memberitahu, sebelum ini, dia pernah berumah tangga dan memiliki keluarga kecil.

Namun, kebahagiaan dan perkongsian kasih itu terhenti disebabkan perangai bekas suaminya, Amat (bukan nama sebenar) yang hanya mementingkan diri tanpa menghiraukan keluarga.

“Saya berkahwin dengan dia atas pilihan keluarga. Kami bernikah sewaktu saya berumur 20 tahun dan dia ketika itu berusia 17 tahun.

“Sebelum itu, kami memang tidak pernah kenal satu sama lain. Semuanya disusun atur oleh kedua-dua belah keluarga yang ada bau-bau bacang.

“Kampung saya dan suami tidak begitu jauh. Kami berasal dari daerah sama,” katanya memulakan bicara.

Menurut Midah yang kini berusia 55 tahun, perkahwinannya bertahan lebih dua dekad dan mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata perempuan.

“Saya dan suami bekerja di tempat sama. Kami berdua bekerja di ladang kelapa sawit atau orang Johor panggil estet. Apabila bekerja di ladang, kebiasaannya kediaman akan diberi secara percuma oleh syarikat sampai kita habis berkhidmat.

“Jadi, selepas berkahwin, kami berdua memulakan kehidupan secara sederhana.

“Kami cipta cinta sendiri dan mengenali satu sama lain ketika itu,” katanya.

Beberapa tahun bersama, Midah memberitahu, dia perasan Amat ada satu perangai yang hari-hari dilakukannya usai habis kerja sekitar pukul 6 petang.

Ujarnya, suaminya yang berketurunan Jawa memiliki tabiat suka ‘ngeteh’ (minum teh dalam bahasa Jawa) bersama rakan-rakan di warung atau kedai mamak selama berjam-jam.

Bagi Midah, pada awalnya, dia tidak ambil kisah mengenai kelakuan suaminya itu. Ini kerana, Midah faham mungkin suaminya mahu melepaskan penat bersama rakan-rakan selepas seharian bekerja.

Bagaimanapun, perkara berkenaan berlarutan selama bertahun-tahun seolah-olah suaminya hidup bujang yang tiada isteri dan anak di rumah.

“Saya masih ingat, semasa melahirkan anak pertama selepas tiga tahun bernikah, dia sudah mula tunjuk perangai sebegitu.

“Dia memang minta izin untuk keluar dari rumah. Namun beragaklah, bukan sampai berjam-jam keluar ‘ngeteh’ sehingga tengah malam baru balik rumah.

“Semua benda saya uruskan. Saya kena berpantang lagi. Nak tak nak terpaksa minta tolong anak saudara yang tinggal tidak jauh dari tempat tinggal kami untuk membantu saya.

“Daripada kami tiada anak, sampai ada anak tiga dan sudah jadi anak dara, dia tetap kemaruk ‘ngeteh’ dengan kawan-kawan.

“Kerja di rumah dan tanggungjawab lain langsung tak dihiraukan. Apa yang dia tahu cuma cari nafkah, keluar bekerja dan ngeteh berjam-jam bersama kawan-kawan,” luahnya.

Beritahu Midah lagi, dek kemaruk ‘ngeteh’ bersama kawan-kawan sejak muda sampai ke tua, suaminya turut mengabaikan solat.

Lama bertahan serta berendam air mata dengan sikap suami yang tidak mementingkan keluarga dan mengabaikan agama selain perbincangan bersama pun tiada jalan penyelesaian, Midah nekad mencari titik akhir.

Dia meminta untuk diceraikan dan akhirnya mereka sah bercerai di sebuah Mahkamah Syariah di Johor selepas lebih dua dekad mendirikan rumah tangga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN