PETALING JAYA – Trend peningkatan golongan muda yang dijangkiti Covid-19 semakin membimbangkan apabila kebanyakan mereka kini ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dan dikategorikan sebagai pesakit kategori 3 dan kategori 4.
Pesakit kategori 3 merujuk kepada individu yang mempunyai jangkitan paru-paru, manakala kategori 4 pula adalah bagi pesakit yang mengalami jangkitan paru-paru, namun memerlukan bantuan oksigen.
Mengesahkan perkara itu apabila Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba memaklumkan, kumpulan umur lebih muda dalam lingkungan 40-an dan 50-an dilihat lebih banyak memenuhi katil ICU.
Katanya, ia berdasarkan laporan yang diterima daripada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) kesihatan awam dan CPRC khidmat hospital.
“Melihat kepada situasi jumlah kes harian yang berada dalam rekod, katil di hospital terutama di ICU dan yang menggunakan ventilator mencatatkan penambahan penggunaan.
“Daripada laporan kita terima, kumpulan umur lebih muda misalnya 40-an dan 50-an dilihat lebih banyak memenuhi ICU berbanding warga emas berusia 60 tahun dan ke atas,” katanya pada sidang akhbar di Putrajaya semalam.
Beliau turut menjelaskan proses vaksinasi besar-besaran yang dilakukan ketika ini menunjukkan keberkesanan apabila pesakit warga emas yang ditempatkan di ICU semakin berkurangan.
“Situasi semasa membuktikan vaksin banyak membantu mengurangkan jangkitan pandemik dalam kalangan golongan rentan atau warga emas,” katanya.
Sementara itu, Pakar Kesihatan Awam, Dr. Hanafian Bashirun berkata, situasi yang berlaku ketika ini adalah berbeza berbanding beberapa bulan lalu yang menyaksikan kelompok warga emas dan golongan rentan paling banyak berada di ICU.
Katanya, capaian pemberian vaksin Covid-19 kepada kelompok warga emas ketika ini merupakan antara punca mengapa golongan tersebut dilihat semakin kurang berada di ICU jika dibandingkan dengan golongan umur yang lebih muda.
“Fokus kerajaan sebelum ini terhadap pemberian vaksin kepada warga emas telah menampakkan kejayaan.
“Kita juga kena tahu, golongan umur lebih muda adalah golongan yang bekerja dan terdedah. Jangan ingat umur macam ini (muda) kita boleh selesa kerana Covid-19 menyerang tidak kira umur dan keadaan,” katanya.
Dr. Hanafiah berkata, Kuala Lumpur dan Selangor menjadi antara penyumbang peningkatan jumlah pesakit yang dirawat di ICU berdasarkan situasi semasa di kedua-dua negeri itu.
Katanya, selain padat dengan penduduk, dua negeri itu juga adalah negeri perindustrian dan tempat tumpuan warga asing yang bekerja.
“Kawasan padat terutamanya di Kuala Lumpur dan Selangor adalah punca kenapa jangkitan Covid-19 mudah merebak. Saya berharap agar program pemberian vaksin ini lebih laju berbanding sekarang supaya negara kita cepat bebas,” jelasnya.
Di Selangor, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam Selangor, Dr. Siti Mariah Mahmud berkata, berdasarkan maklumat, pesakit kategori 3 dan 4 yang dahulunya didominasi golongan warga emas kini telah terpalit kepada kepada golongan muda yang belum menerima vaksinasi.
Ujarnya, faktor lain juga berkemungkinan berpunca daripada kelekaan golongan ini mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Bagaimanapun, beliau menjelaskan, pihaknya tidak mempunyai angka spesifik jumlah pesakit muda yang dirawat di hospital di Selangor.
“Apabila disahkan positif, Pusat Penilaian Covid-19 akan menentukan tahap keseriusan dan sekiranya kategori satu atau dua hanya dikuarantin di rumah,” katanya.-K! ONLINE















