fbpx

Gardenia laksana enam ciri SOP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GBKL melaksanakan pengasingan pekerja-pekerja menerusi waktu daftar masuk (clock-in) yang berbeza dengan mereka yang berstatus risiko rendah sahaja dibenarkan memasuki kawasan kilang.

SHAH ALAM – Syarikat pengeluar roti terkenal, Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd. (GBKL) melaksanakan enam ciri-ciri pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan kesemua pekerjanya sihat sebelum memasuki premis tersebut dalam mengekang penularan Covid-19.

Pengurus Kanan Pengurusan Sistem dan Perhubungan Institusi merangkap Ketua Jawatankuasa Halal GBKL, Azmy Roslin berkata, perkara utama yang dilakukan ialah penjagaan pintu masuk apabila hanya membenarkan pekerja yang berstatus risiko rendah di profil aplikasi MySejahtera masuk ke kawasan kilang.

Katanya, GBKL juga melakukan penguatkuasaan menerusi audit atau pemeriksaan berkala dalaman yang dilakukan secara harian oleh jabatan masing-masing dan secara bulanan yang dijalankan oleh pasukan audit daripada pelbagai jabatan.

“Ciri-ciri pelaksanaan SOP ketiga ialah pemantauan berterusan kes Covid-19 menerusi penggunaan teknologi maklumat secara ‘real time’ dalam pelaporan kes-kes positif di semua kilang.

“GBKL juga melaksanakan pengasingan pekerja-pekerja menerusi waktu daftar masuk (clock-in) yang berbeza, kantin yang berasingan antara pekerja-pekerja daripada line pengeluaran yang berlainan serta pengasingan pekerja yang tinggal di asrama mengikut kilang dan line pengeluaran,” katanya pada taklimat media sempena lawatan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) ke kilang patuh SOP sepanjang tempoh pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) di kilang GBKL di Seksyen 26, di sini hari ini.

Azmy memberitahu, ciri-ciri pelaksanaan SOP kelima adalah memberikan peringatan yang berterusan melalui taklimat harian ketika pertukaran syif bekerja selain menampal poster dan notifikasi mengenai pematuhan SOP dalam bahasa Melayu, Inggeris, Urdu dan Nepal.

Ujarnya, program sanitasi turut dilakukan setiap kali pertukaran syif di line pengeluaran serta tiga kali sehari di kawasan umum melibatkan kawasan kantin dan surau.

“SOP dijalankan di kilang ini mematuhi kehendak Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan kerjasama diberikan daripada peringkat atasan sehingga pekerja.

“Untuk kelangsungan perniagaan, kita tidak ada pilihan lain, mesti mematuhi SOP memandangkan kita merupakan perkhidmatan perlu dan memastikan SOP terus dipatuhi agar dapat beroperasi,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setakat ini sebanyak 92 peratus daripada keseluruhan 2,871 pekerja GBKL telah menerima suntikan vaksin dos pertama menerusi Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS).

“Kami menjangkakan kesemua 2,635 pekerja yang telah mendapat satu dos itu akan melengkapkan vaksinasi mereka dalam masa sebulan,” jelasnya. -K!ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI