fbpx
SHARULEZAD hanya akan bekerja dengan pelakon dan kru penggambaran yang sudah ambil vaksinasi Covid-19.

Nak kerja kena vaksin. Tak nak, saya paksa – Shahrulezad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Penerbit syarikat produksi Radius One Sdn. Bhd, Shahrulezad Mohameddin akur dengan keputusan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang mewajibkan karyawan industri kreatif termasuk pelakon dan kru penggambaran melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 sebelum memulakan tugas di lokasi.

Keputusan tersebut susulan kebenaran melakukan penggambaran di luar studio dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat menjelang Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) seperti yang diumumkan kerajaan semalam.

Shahrulezad atau kebih dikenali sebagai Ijat berkata, pihaknya bagaimanapun pihaknya tidak akan memaksa artis atau kru mengambil vaksin tetapi hanya akan berurusan dengan golongan yang sudah mendapatkan suntikan itu sahaja.

“Mana-mana artis atau kru yang masih enggan divaksinasi tak payah kalut, saya tak paksa pun. Selagi tiada undang-undang Malaysia yang mewajibkan semua orang mengambil suntikan vaksin, maknanya memang tak ada sesiapa boleh memaksa anda.

“Bertenanglah. Saya tak mahu berdebat, tak mahu putus kawan. Cuma, setakat ini Finas, stesen televisyen dan Radius One hanya akan berurusan dengan mereka yang sudah mengambil suntikan vaksin. Kami ada hak untuk memilih siapa yang kami mahu bekerja.

“Kalau ikutkan saya, satu vaksin pun sudah memadai kerana nak tunggu dos kedua ada yang lambat. Namun, Finas sudah keluarkan kenyataan bahawa semua penggiat seni diwajibkan mendapatkan dua dos sebelum menjalani penggambaran. Kena bersabar dan akur,” katanya.

Pada masa sama, penerbit dan pengarah itu menyatakan dia juga sudah mendapatkan maklum balas daripada wakil stesen televsyen berhubung syarat perbadanan berkenaan yang nyata wajib diikuti oleh semua pihak.

“Saya dah rujuk dengan beberapa wakil stesen mengenai isu syarat wajib vaksin ini. Mereka kata, mereka akan ikut saja arahan Finas. Jadi, kepada yang enggan, selamat maju jaya. Kalau rasa nak jalani penggambaran, pergi ambil vaksin. Kalau tidak, tak apa.

“Mungkin ada stesen TV terutamanya Over-The-Top (OTT) dan syarikat produksi lain yang ada kelonggaran. Lagi pun, Insya-Allah, rezeki ada di mana-mana. Jangan risau, bumi Allah ini luas,” tulis pengarah naskhah fenomena, Nur itu menerusi Instagram.

Shahrulezad dan Radius One sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan sejak Mei lalu yang menegaskan pendirian mereka untuk berurusan dengan orang yang sudah mengambil suntikan vaksin sahaja demi keselamatan semua pelakon dan kru.

Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kelulusan aktiviti penggambaran pada Fasa Dua PPN berpandukan syarat ketat bawah Protokol Gelembung Penggambaran (PREP) yang dikawal selia Finas.

Selain tenaga produksi minima dan tidak dibenarkan keluar daripada radius zon kawalan risiko, kelulusan hanya diberikan kepada tenaga produksi yang lengkap dua dos suntikan vaksin dam menjalani saringan kesihatan sebelum, semasa dan selepas tamat penggambaran. – K! ONLINE

POPULAR