fbpx

Kerjasama strategik MR D.I.Y., Touch ‘n Go

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – MR. D.I.Y. Group (M) Bhd. (MR D.I.Y.) dan Touch ‘n Go Group mengumumkan beberapa inisiatif kerjasama strategik bertujuan meningkatkan akses dan menambah baik pengalaman pengguna menerusi saluran dalam dan luar talian.

Kini pengguna boleh menambah nilai kad Touch ‘n Go mereka di semua cawangan MR D.I.Y., selain menggunakan Touch ‘n Go eWallet untuk membuat pembayaran di cawangan dan laman web syarikat.

MR D.I.Y. juga merupakan antara rakan kongsi tetap Touch ‘n Go eWallet untuk program kesetiaan eWallet mereka yang dinamakan The Goal Hunter iaitu pengguna boleh menebus baucar MR D.I.Y. dan menikmati pulangan tunai di MR D.I.Y.

Kerjasama antara kedua-dua belah pihak juga bakal menyaksikan MR D.I.Y. menjadi salah satu ikon utama dalam Touch ‘n Go eWallet, membolehkan 16 juta pengguna Touch ‘n Go melihat katalog MR. D.I.Y, memesan dan membuat pembayaran, mendapatkan khidmat penghantaran atau mengambilnya sendiri di cawangan pilihan mereka.

Inisiatif berkenaan dijangka dilancarkan pada suku ketiga tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MR D.I.Y., Adrian Ong, berkata, pihaknya sentiasa mencari cara baharu dan berinovatif untuk menjadikan MR D.I.Y. lebih mudah diakses pelanggan di seluruh negara.

“Usaha sama dengan Touch ‘n Go adalah langkah penting untuk membolehkan pelanggan kami menikmati pengalaman membeli-belah tanpa tunai, selain menjadikan proses membeli-belah di MR D.I.Y. lebih mudah terus ke skrin dan peranti pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Touch ‘n Go Group, Effendy Shahul Hamid berkata, keadaan perniagaan hari ini memerlukan pihaknya memupuk usaha sama erat dengan pelbagai jenama yang berpandangan sama untuk menyampaikan cadangan nilai yang jelas kepada pelanggan.

“Kami percaya MR D.I.Y adalah rakan kongsi yang paling sesuai dan berharap kerjasama ini dapat memberi penawaran yang lebih hebat kepada pelanggan masing-masing,” katanya.

POPULAR